• #DUNSarawak: RTP Dipantau Sepenuhnya, Tiada Elemen Salah Guna

    Published: Thursday, 16 November 2017
    A- A+

    KUCHING: Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri Abdullah Saidol menempelak Pengerusi DAP Sarawak yang menuduh peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) disalah guna Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Sarawak.

    Beliau berkata, peruntukan RTP bukannya diberikan secara terus kepada ADUN BN sebaliknya menerusi agensi yang berkaitan selain dipantau Unit Pemantauan Pelaksanaan Negeri (SIMU).

    Menurutnya, Chong sepatutnya mempersoalkan perkara tersebut menerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang (PAC) Negeri yang turut dianggotai ADUN dari pembangkang.

    "Ia (RTP) dibelanjakan menerusi pemberian wang tunai kepada ADUN BN sebaliknya melalui projek.

    "Peruntukan RTP berjumlah RM5 juta yang disalurkan kepada ADUN BN Sarawak juga bergantung kepada kos dan bukannya bilangan projek.

    "Adakalanya bilangan projek sedikit namun kos untuk pelaksanaan agak tinggi," katanya ketika sidang media pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

    Malah menurutnya, setiap ADUN BN Sarawak turut diberikan kad skor yang perlu dikemukakan kepada Ketua Menteri setiap suku tahun yang melibatkan bilangan projek, kekerapan turun padang, kunjungan masyarakat ke pusat khidmat dan pelbagai aspek lain.

    "Setiap perkara yang kita lakukan termasuk melibatkan projek adalah dipantau," ujarnya.

    Abdullah menjelaskan, Sarawak adalah satu-satunnya negeri yang menggunakan peruntukan negeri dan memperkenal program pembangunan desa melalui peruntukan RTP yang bertujuan merapatkan keselesaan infrastuktur antara bandar dan desa.

    "Kalau menunggu peruntukan daripada kerajaan persekutuan mungkin lambat, oleh itu kerajaan melakukan inisiatif memperkenalkan RTP," jelasnya.

    Tambahnya, ADUN BN akan mengenalpasti dan menyenaraikan projek yang perlu dilaksanakan di kawasan masing-masing dalam lingkungan bajet RTP maksimm RM5 juta.

    “Senarai projek RTP ini akan diserah kepada Pejabat Residen di kawasan masing-masing untuk tindakan serta pelaksanaan agensi seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (DID),” kata Abdullah.

    Menurut Abdullah lagi, peruntukan RTP dan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) adalah sumber daripada kerajaan negeri.

    “Selain daripada RTP dan MRP, ADUN BN juga boleh memohon terus kepada kerajaan negeri atau persekutuan untuk projek yang melibatkan kos tinggi seperti jambatan dan jalan yang menelan belanja jutaan ringgit,” tambahnya.-Sarawakiana


  • No Comment to " #DUNSarawak: RTP Dipantau Sepenuhnya, Tiada Elemen Salah Guna "