• #DUNSarawak: RM53.97 Juta Untuk Laksana 562 Projek Infrastruktur

    Published: Wednesday, 15 November 2017
    A- A+

    KUCHING: Kerajaan negeri meluluskan peruntukan RM53.97 juta tahun ini untuk pelaksanaan 562 projek infrastruktur.

    Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr Sim Kui Hian berkata, ia merangkumi kerja menaiktaraf lampu, lampu isyarat, tempat pejalan kaki, tandas awam, perpustakaan, jeti dan taman rekreasi.

    "Daripada 562 projek ini, 518 projek berada dalam pelbagai peringkat pelaksanaan dan kebanyakannya siap dalam tahun ini," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

    Di bawah Inisiatif Transformasi Luar Bandar Jawatankuasa Kabinet, beliau berkata, peruntukan berjumlah RM45.78 juta untuk pelaksanaan projek tebatan banjir tahun ini.

    Projek tersebut akan dilaksanakan pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

    "Sebanyak 63 daripada projek ini siap hujung tahun ini manakala 34 projek dilaksanakan 2018," ujarnya.

    Sementara itu, Dr Sim menjelaskan, sebanyak 276 projek membaiki rumah di bawah Program Pembasmian Kemiskinan Bandar siap dan menjadikan Sarawak berada pada kedudukan kedua berjaya selepas Selangor.

    "Kementerian saya menerima peruntukan RM4.14 juta daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk pelaksanaan 276 projek membaiki rumah miskin bandar di negeri ini," jelasnya.-Sarawakiana
  • No Comment to " #DUNSarawak: RM53.97 Juta Untuk Laksana 562 Projek Infrastruktur "