• #DUNSarawak: Rakyat Perlu Lebih Terbuka Dalam Isu Babitkan Tanah

    Published: Tuesday, 14 November 2017
    A- A+

    KUCHING: Kerajaan negeri perlu berusaha lebih keras untuk menyelesaikan isu berkaitan tanah, kata Dennis Ngau (BN-Telang Usan).

    Beliau berkata, usaha kerajaan termasuk mengerahkan sumber untuk menyelesaikan masalah tersebut dan menumpukan kepada perkara utama dalam isu berkenaan..

    Sehubungan itu menurutnya, rakyat digesa untuk bersikap lebih terbuka dan melihat isu tersebut dalam perspektif besar agar situasi menang-menang mampu dicapai.

    "Ketua Menteri (Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg) berkali-kali menyatakan kerajaan negeri melihat isu tersebut secara serius bagi mencari jalan penyelesaian," katanya ketika membahaskan Bajet Sarawak 2018 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

    Beliau berkata, rakyat sepatutnya memberi masa kepada Datuk Amar Douglas Uggah Embas selaku Pengerusi Jawatankuasa Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) dan pasukannya menyelesaikan isu berkaitan tanah di Sarawak.

    Menyentuh mengenai jalan penghubung di konstituensi Telang Usan, Dennis berkata, kira-kira 99 peratus daripada 90 rumah panjang atau penempatan dihubungkan dengan dunia luar menggunakan jalan tanah.

    Jelasnya, jalan tersebut merupakan ihsan daripada syarikat pembalakan yang beroperasi secara sah di kawasan tersebut.

    "Namun selepas kerajaan negeri memperkenalkan beberapa peraturan untuk memastikan kelestarian dan pengurusan hutan yang baik, semua syarikat pembalakan mengurangkan kos operasi dan ada pula yang menghentikan operasi atas pelbagai alasan.

    "Keadaan ini menyababkan masalah terhadap jalan kerana tidak dijaga lagi. Disebabkan keadaan cuaca tidak menentu, kebanyakan jalan penghubung ini rosak dan menyebabkan akses terhad di kalangan penduduk," ujarnya.

    Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan dapat membantu menyelesaikan masalah perhubungan tersebut.-Sarawakiana
  • No Comment to " #DUNSarawak: Rakyat Perlu Lebih Terbuka Dalam Isu Babitkan Tanah "