• #DUNSarawak: Penyambungan Elektrik Rumah Panjang Lawai Siap Suku Pertama Tahun Depan

    Published: Monday, 13 November 2017
    A- A+
    KUCHING: Projek bekalan elektrik luar bandar yang dilaksanakan di Rumah Panjang Lawai, Selidong dijangka siap pada suku pertama tahun depan.

    Menteri Muda Utiliti, Dr Abdul Rahman Junaidi berkata,  kerja-kerja penyambungan bekalan elektrik ke Rumah Panjang Lawai sedang dijalankan buat masa ini.

    "Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) yang bernilai RM2.7 juta ini akan memberi manfaat kepada 33 isi rumah," katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Paulus Palu Gumbang (BN-Batu Danau) mengenai status terkini bagi pelaksanaan projek BELB ke Rumah Panjang Lawai, Selidong dan Rumah Panjang Lembong, Entakong.

    Bagi Rumah Panjang Lembong, Dr Abdul Rahman menjelaskan, kementeriannya mencadangkan kepada Kementerian Luar Bandar dan Wilayah agar rumah panjang tersebut diberi keutamaan untuk disenaraikan bagi projek BELB pada tahun depan.

    Sementara itu, Paulus turut bertanya mengenai kelayakan Rumah Panjang Lembong untuk disambungkan melalui Program Skim Elektrik Alternatif Luar Bandar Sarawak (SARES).

    Menurut Dr Abdul Rahman, memandangkan rumah panjang tersebut terletak 5km dari talian grid sedia ada, keutamaan adalah melalui penyambungan ke talian grid.-Sarawakiana
  • No Comment to " #DUNSarawak: Penyambungan Elektrik Rumah Panjang Lawai Siap Suku Pertama Tahun Depan "