• #DUNSarawak : Penduduk Luar Bandar Perlu Terlibat Dalam Industri Pelancongan Berasaskan Komuniti

    Published: Wednesday, 15 November 2017
    A- A+

    KUCHING : Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata kementeriannya akan terus menggalakkan lebih banyak penyertaan komuniti luar bandar dalam industri pelancongan melalui ekopelancongan berasaskan komuniti (CBET).

    “Kementerian saya telah bekerjasama dengan komuniti tempatan melalui program kesedaran pelancongan untuk meningkatkan kesedaran mereka terhadap industri pelancongan.

    “Program ini adalah untuk memberi faedah yang boleh direalisasikan melalui sektor dinamik ini dalam meningkatkan sumber pendapatan alternatif dan peluang pekerjaan,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

    Karim berkata, pada tahun 2017, sebanyak enam buah homestay telah didaftarkan dan kini terdapat 41 buah homestay yang berdaftar dengan 582 pengendali di seluruh Sarawak.

    “Kementerian saya juga menjalankan program pembinaan kapasiti untuk pengendali dan komuniti homestay melalui kursus seperti Bengkel Pembangunan Produk Pelancongan Dan Kursus Asas Perakaunan Dan Keusahawanan bagi peserta homestay dan Bengkel Kebudayaan Dan Kesenian,” ujarnya.

    Menurut beliau, objektif kursus tersebut adalah untuk meningkatkan pengetahuan dan kualiti perkhidmatan pengendali homestay supaya mereka dapat memberikan perkhidmatan yang cemerlang kepada pelancong dan dengan itu dapat menjana lebih banyak pendapatan kepada homestay mereka.

    Di samping itu, kementerian saya juga menyokong homestay dan masyarakat setempat dengan membantu mereka menyelaraskan aktiviti pelancongan seperti Rumah Terbuka Gawai, Hari Raya Aidilfitri dan Makan Tahun (Kedayan).- Sarawakiana
  • No Comment to " #DUNSarawak : Penduduk Luar Bandar Perlu Terlibat Dalam Industri Pelancongan Berasaskan Komuniti "