• #DUNSarawak : Pendawaian Elektrik Klinik Di Baram Ditambahbaik

    Published: Tuesday, 14 November 2017
    A- A+


    KUCHING : Semua klinik di Baram akan dilengkapi dengan sistem pendawaian elektrik, kata Menteri Muda Perumahan dan Kesihatan Awam Dr Annuar Rapaee.

    Annuar berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meluluskan peruntukkan sebanyak RM274,000 bagi menguji tahap keselamatan sistem elektrik di 220 buah fasiliti kesihatan di Sarawak pada tahun 2016.

    “Daripada jumlah 220 buah fasiliti tersebut, 24 daripadanya merupakan Klinik Kesihatan Di Daerah Baram," katanya.

    Menurutnya, sebanyak 17 buah klinik di kawasan berkenaan masih menggunakan set generator bagi menampung sistem elektrik.

    “Namun pada tahun ini, sejumlah 19 buah klinik di Daerah Baram sedang dalam proses penaiktarafan sistem pendawaian dengan jumlah sebanyak RM1.07 juta dan jumlah peruntukkan bagi setiap klinik adalah berbeza berdasarkan skop kerja yang dilaksanakan,” ujarnya.

    Beliau berkata sedemikian sebagai menjawab pertanyaan daripada Dennis Ngau (BN-Telang Usan) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini.

    Sementara itu, mengenai pembinaan Klinik Long Usan di Daerah Baram, Annuar berkata pembinaan klinik tersebut masih dalam perancangan untuk mengenalpasti tapak yang sesuai.

    “Justeru, saya mohon wakil rakyat bersama dengan Jabatan Kesihatan Negeri mengenalpasti tapak yang sesuai untuk pembinaa Klinik Long Usan bagi memberi manfaat kepada penduduk di kawasan tersebut,” jelasnya.-Sarawakiana
  • No Comment to " #DUNSarawak : Pendawaian Elektrik Klinik Di Baram Ditambahbaik "