• #DUNSarawak: Penceramah Tanpa Tauliah Tidak Diterima Di Sarawak

    Published: Friday, 10 November 2017
    A- A+
    gambar fail

    KUCHING: Kerajaan negeri sentiasa memantau ceramah setiap penceramah di Sarawak, kata Menteri Muda Utiliti Dr Abdul Rahman Junaidi.


    Beliau berkata, hanya penceramah yang diberikan tauliah dibenarkan menyampaikan ceramah di negeri ini.

    Setakat ini, menurutnya, belum ada aduan diterima berkaitan dengan kandungan ceramah berbentuk 'hatred' dan 'sectariat'.

    "Permohonan pentauliahan diurus mengikut Arahan Pentadbiran Pentauliahan Mengajar Agama Islam, 2014 yang telah diluluskan dalam Mesyuarat Majlis Islam Sarawak Bilangan 4, Tahun 2014 berdasarkan peruntukan sub-seksyen 58 (1) (d) Ordinan Majlis Islam Sarawak, 2001," katanya.

    Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Dr Juanda Jaya (BN-Jemoreng) mengenai reaksi kerajaan terhadap pihak yang menimbulkan 'hatred' dan 'sectarian' yang dibimbangi tidak bertauliah pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

    Juanda turut bertanya mengenai sistem pentauliahan diuruskan selaras dengan kehendak undang-undang dan bilangan pentauliahan yang diberikan serta ditamatkan.

    Menurut Dr Abdul Rahman lagi, seramai 356 penceramah telah diberikan tauliah untuk tempoh satu hingga tiga tahun.

    Sementara itu, Juanda turut bertanya mengenai kemungkinan lulusan Sarjana Muda Pengajian Islam dan ke atas dari universiti diiktiraf kerajaan Malaysia akan mendapat tauliah mengajar agama secara automatik memandangkan kelulusan pengajian agama mereka telah diakui Pusat Pengajian Tinggi Islam yang diiktiraf.

    Pada masa sama, beliau turut mengemukakan soalan tambahan melibatkan kawal selia dilakukan terhadap Jawatankuasa Pemberian Tauliah Mengajar Agama Islam yang diurus selia Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) kerana dibimbangi berlaku ketirisan dalam pemberian tauliah kerana terdapat aduan tentang seorang penceramah dari Singapura dibenarkan berceramah agama di Sarawak sedangkan di Singapura beliau hanya diberikan tauliah mengajar mengaji Al-Quran sahaja oleh Majlis Ugama Islam Singapura dan tidak diberi tauliah untuk mengajar agama.

    Dr Abdul Rahman menjelaskan, jawatankuasa dan panel pentauliahan JAIS adalah bertanggungjawab menjalankan amanah berdasarkan garis panduan ditetapkan.

    "Memiliki sarjana pengajian Islam bukanlah merupakan tiket untuk berceramah sesuka hati kepada khalayak masyarakat Islam di Sarawak tetapi lebih berat dari itu mempunyai rasa tanggungjawab menjaga persefahaman dan perpaduan dalam kehidupan masyarakat," ujarnya.

    Tambahnya, semua warganegara luar yang diberikan tauliah mengajar agama di Sarawak telah memenuhi syarat yang ditentukan mengikut Arahan Pentadbiran Pentauliahan Mengajar Agama Islam, 2014.

    Bagaimanapun katanya, Majlis Islam.Sarawak (MIS) menerusi JAIS akan sentiasa melakukan pemantauan terhadap semua pemegang tauliah tanpa mengira warga tempatan atau warganegara luar.-Sarawakiana
  • No Comment to " #DUNSarawak: Penceramah Tanpa Tauliah Tidak Diterima Di Sarawak "