• #DUNSarawak: Mulu Terus Dipromosi Sebagai Destinasi Pelancongan Pilihan

    Published: Tuesday, 14 November 2017
    A- A+

    KUCHING: Bagi memastikan Mulu kekal sebagai destinasi pelancongan pilihan, kerajaan negeri akan terus merangka pelan promosi dari semasa ke semasa.

    Menteri Muda Pelancongan, Keseniaan dan Kebudayaan Datuk Lee Kim Shin berkata, ia termasuk promosi untuk jangka masa pendek, sederhana dan panjang.

    Menurutnya, pada masa ini Mulu boleh diakses menggunakan pengangkutan udara menerusi MasWing dua kali sehari dari Miri, empat kali seminggu dari Kuching dan empat kali seminggu dari Kota Kinabalu.

    "Bagi yang mahukan pengalaman mencabar, mereka boleh memandu dua jam dari Miri menggunakan kenderaan pacuan empat roda melalui Long Bedian ke Long Terawan.

    "Dari situ akan mengambil masa dua jam lagi menggunakan bot panjang ke Mulu," katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Dato' Sebastian Ting (BN-Piasau) mengenai rancangan kerajaan untuk meningkatkan perhubungan bagi mempromosi Taman Negara Mulu.

    Lee menjelaskan, kementeriannya juga meningkatkan akses ke Mulu menggunakan jalan balak sedia ada dari Long Bedian-Long Terawan-Long Iman dan dua jam menggunakan bot ke Ibu Pejabat Taman Negara Mulu.-Sarawakiana
  • No Comment to " #DUNSarawak: Mulu Terus Dipromosi Sebagai Destinasi Pelancongan Pilihan "