• #DUNSarawak: Kerajaan Negeri Akan Meneruskan Tuntutan Hak MA63

    Published: Friday, 17 November 2017
    A- A+
    KUCHING: Hak Sarawak yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) merupakan perjanjian antarabangsa yang tidak dipinda, dan ditandatangani oleh Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Sarawak, Kerajaan Sabah dan Kerajaan United Kingdom.

    Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg ketika menggulung perbahasan berkata, Kerajaan Persekutuan tidak boleh meminda MA63 kerana ia merupakan perjanjian antarabangsa.

    Jelas beliau, Kerajaan Sarawak akan terus mengerahkan hak-hak tersebut seperti yang termaktub dalam MA63 dan jika kerajaan tidak bertindak menjaga hak berkenaan tiada siapa yang akan melakukannya.

    "Rakyat Sarawak berkeyakinan tinggi berkaitan hak Sarawak kerana golongan muda begitu ramai yang sudah berpendidikan tinggi serta mengetahui perkara yang sedang berlaku," katanya ketika menyampai ucapan penggulungan Bajet Sarawak 2018 hari ini.

    Menurutnya, rakyat Sarawak sudah melihat dengan jelas apa sebenarnya hak Sarawak seperti dalam MA63 dan kerajaan negeri akan bertindak sewajarnya semua hak yang telah tercatit.

    "Kerajaan melaksana hak-hak tersebut demi menjaga kepentingan ekonomi untuk generasi sekarang dan masa depan dan melakukan perkara yang adil untuk semua rakyat Sarawak," katanya. - Sarawakiana
  • No Comment to " #DUNSarawak: Kerajaan Negeri Akan Meneruskan Tuntutan Hak MA63 "