• #DUNSarawak: Kekalkan Pejabat Daerah Matu Di Tapak Asal

    Published: Monday, 13 November 2017
    A- A+

    KUCHING: Datuk Dr Juanda Jaya (BN-Jemoreng) berharap kerajaan negeri mempertimbangkan untuk menempatkan Pejabat Daerah Matu yang baharu di tapak asal yang pesat dengan pembangunan ketika ini.

    Beliau berkata, tiada masalah untuk menempatkan pejabat tersebut di Pekan Matu kerana masalah banjir yang berlaku dapat diatasi dan diminimumkan.

    Malah menurutnya, terdapat fakta menunjukkan dakwaan banjir di kawasan tanah menempatkan Pusat Perkhidmatan Matu yang asal agak meleset.

    "Kini Masjid Daerah dibina di kawasan ini selain Balai Bomba dan Penyelamat Matu, Rumah Kedai LCDA dan sebagainya. Apabila Pejabat Daerah dibina di kawasan ini, rakyat akan bersyukur dengan nikmat pembangunan.

    "Janganlah ia dibina 20km jauh daripada penempatan penduduk kerana kita juga bimbang tentang keselamatan pegawai selain kesukaran berurusan," katanya.

    Beliau berkata demikian ketika membahaskan Bajet Sarawak 2018 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

    Juanda turut membangkitkan isu feri kerana penduduk terpaksa berebut dengan lori sawit yang sering membawa lebih muatan.

    "Kerajaan perlu mengambil tindakan dan saya tidak pasti samada terdapat penguatkuasaan tetapi mereka sudah dituduh menyalahguna kuasa oleh penduduk kampung.

    "Akibat berada di kawsan Matu terlalu lama, akhirnya mereka menjadi raja dan pemilik lori menyalahguna kuasa selain tidak memperdulikan keselamatan orang ramai," ujarnya.-Sarawakiana

  • No Comment to " #DUNSarawak: Kekalkan Pejabat Daerah Matu Di Tapak Asal "