• #DUNSarawak: Kadar Jenayah Di Sarawak Menunjukkan Trend Penurunan

    Published: Friday, 17 November 2017
    A- A+

    KUCHING: Kadar jenayah di Sarawak mencatatkan penurunan 5.26 peratus Januari hingga Oktober tahun ini berbanding 2016.

    Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas bagaimanapu  berkata, kerajaan akan terus berusaha membanteras jenayah bagi menjamin kesejahteraan dan keselamatan rakyat Sarawak.

    Malah menurutnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan tahap keselamatan

    Inisiatif tersebut merangkumi Kepolisian Masyarakat, Sukarela Telefon Pintar Patrol (VSP), Amanita dan Omni-presence.

    "Kerajaan negeri melalui Program Transformasi Sistem Penyampaian telah mengadakan Program Pemantapan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) bersama-sama dengan agensi penguatkuasa seluruh negeri ini.

    "Melalui program ini, semua ahli KRT akan memainkan peranan penting untuk menyalurkan risikan jenayah kepada agensi penguatkuasa," katanya.

    Beliau yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

    Menurutnya, hasil penguatkuasaan antara agensi yang berterusan dan agresif, perjudian siber di pusat atau kedai telah dapat dihapuskan sepenuhnya sehingga mencapai tahap sifar.

    Untuk memberi perkhidmatan yang lebih efisien kepada masyarakat dan meningkatkan keupayaan PDRM, Uggah berkata, dua balai polis sedang dalam pembinaan iaitu Balai Polis Beladin dan Balai Polis Debak.

    "Kedua-dua balai polis ini dijangka siap dan beroperasi tahun depan," ujarnya.

    Selain itu beliau menambah, kerajaan juga merancang membina sebuah ibu pejabat polis daerah (IPD) dan empat balai polis pada 2018.

    Ia melibatkan IPD Lawas, Balai Polis Matang Jaya, Balai Polis Spaoh, Balai Polis Lachau dan Balai Polis Samalaju.-Sarawakiana
  • No Comment to " #DUNSarawak: Kadar Jenayah Di Sarawak Menunjukkan Trend Penurunan "