• #DUNSarawak: Henti Keluar Kenyataan Tidak Tepat Mengenai Darul Hana, Sungai Bedaun

    Published: Friday, 10 November 2017
    A- A+

    KUCHING: Menteri Muda Utili Dr Abdul Rahman Junaidi berharap mana-mana pihak berhenti dan tidak mengeluarkan kenyataan mengelirukan membabitkan Projek Pembangunan Darul Hana dan Sungai Bedaun.

    Beliau berkata, ini kerana kenyataan mengelirukan dan tidak berasas akan mengelirukan kelancaran kedua-dua projek mengikut tempoh yang ditetapkan.

    Malah menurutnya, sebuah jawatankuasa khusus iaitu Jawatankuasa Pembangunan dan Komunikasi Darul Hana ditubuhkan yang dipengerusikan oleh beliau sendiri untuk menyalurkan maklumat sahih kepada penduduk.

    "Kita berharap agar tiada mana-mana pihak atau individu mengeluarkan sebarang kenyataan yang mengelirukan dan tidak berasas pada masa akan datang kerana ia akan mengganggu kelancaran projek mengikut tempoh yang telah ditetapkan," katanya pada sidang media di Bilik Media Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

    Dr Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai berkata, pembinaan rumah di Projek Pembangunan Darul Hana adalah untuk memenuhi keperluan perumahan bagi setiap Ketua Isi Rumah (KIR) yang terlibat secara langsung membabitkan penduduk Seberang Hilir.

    "Projek ini melibatkan 12 buah kampung yang terletak di sepanjang Sungai Sarawak.

    "Pembangunan Darul Hana masa ini berjalan lancar seperti dirancang dengan pembinaan kemudahan infrastruktur dan utilitu seperti jalan raya, sistem perparitan, sistem pembentungan, bekalan elektrik dan air serta kemudahan ICT.

    "Ini akan disusuli dengan pembinaan rumah fasa pertama yang dijangka siap pada tahun 2020 melibatkan Kampung Panglima Seman Lama, Kampung Semarang dan Kampung Pulo Ulu," ujarnya.

    Menurutnya lagi, penempatan di Sungai Bedaun pula akan menyediakan kemudahan infrastruktur dan utiliti seperti jalan raya, sistem perparitan, sistem pembentungan, bekalan elektrik dan air serta kemudahan ICT adalah untuk menampung keperluan Ketua Keluarga Tambahan.-Sarawakiana
  • No Comment to " #DUNSarawak: Henti Keluar Kenyataan Tidak Tepat Mengenai Darul Hana, Sungai Bedaun "