• #DUNSarawak: Empangan Bengoh Kukuh & Stabil

    Published: Monday, 13 November 2017
    A- A+

    KUCHING: Kementerian Utiliti Sarawak memberi jaminan Empangan Bengoh kukuh dan stabil, kata Menterinya Dato Sri Stephen Rundi Utom.

    Beliau berkata, rekabentuk dan pembinaan empangan tersebut mendapat sentuhan pakar antarabangsa yang berpengalaman dari United Kingdom dan pakar dari China yang telah membina lebih 200 empangan seluruh dunia.

    Malah menurutnya, rekabentuk dan pembinaan empangan yang beroperasi sepenuhnya sejak 2015 itu juga telah disemak oleh pakar empangan berkecuali.

    "Penurunan paras air baru-baru ini adalah selaras dengan prosedur operasi seperti yang dinasihatkan oleh pakar empangan.

    "Ia adalah penurunan paras air yang dirancang dengan melepaskan air melalui saluran 'culvert' dan bukan disebabkan oleh sebarang masalah atau kebocoran empangan," katanya ketika sidang media pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

    Sehubungan itu, Dr Rundi menjelaskan, keselamatan dan integriti empangan tersebut tidak terjejas.

    "Perkara ini telah disahkan oleh pakar perunding empangan daripada Halcrow Consultant, United Kingdom semasa lawatan pemeriksaan berkala di tapak pada akhir Oktober 2017," ujarnya.

    Menurutnya lagi, dalam situasi kecemasan di luar jangkaan, pihak berkenaan termasuk penduduk terlibat akan dimaklumkan serta merta dan pelan pemindahan akan dijalankan.-Sarawakiana
  • No Comment to " #DUNSarawak: Empangan Bengoh Kukuh & Stabil "