• #DUNSarawak: Elak Ajaran Sesat, Sekolah Agama Perlu Berdaftar Dengan MIS

    Published: Tuesday, 14 November 2017
    A- A+

    KUCHING: Setiap sekolah atau institusi agama yang ditubuhkan di negeri ini perlu berdaftar dengan Majlis Islam Sarawak (MIS).

    Timbalan Yang Dipertua MIS Datuk Dr Juanda Jaya berkata, sebelum memulakan operasi pengajian perlu dimaklumkan kepada badan agama tersebut terlebih dahulu.

    Bukan itu sahaja menurutnya, guru atau tenaga pengajar yang dilantik juga perlu mendapat pentauliahan daripada agensi yang berkaitan.

    "Guru yang mengajar di sekolah agama mesti mempunyai kelayakan dan mendapat akreditasi daripada kerajaan," katanya ketika sidang media pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

    Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng berkata, ia bagi memastikan tidak berlaku unsur atau elemen negatif sama proses pengajaran berlangsung.

    "Kita bimbang terdapat unsur tidak betul (ajaran sesat) menular dalam sesi pembelajaran," ujarnya.

    Sementara itu, Juanda menjelaskan, Sarawak yang mempunyai tahap keharmonian kaum yang tinggi sentiasa memandang serius isu membabitkan ekstremis agama.

    "Larangan terhadap penceramah agama yang disifatkan sebagai ekstrem adalah tepat kerana tidak mahu elemen negatif dan sensitif masuk ke Sarawak.

    "Setakat ini tidak ada kes ekstremis agama berlaku di negeri ini, tetapi kita harus sentiasa berjaga-jaga bagi mengelak pengaruh negatif berlaku di Sarawak," ujarnya.-Sarawakiana
  • No Comment to " #DUNSarawak: Elak Ajaran Sesat, Sekolah Agama Perlu Berdaftar Dengan MIS "