• #DUNSarawak: DUN Jemoreng Perlukan RM500 Ribu Untuk Bersihkan 4 Sungai Di Matu

    Published: Tuesday, 14 November 2017
    A- A+
    KUCHING: Terdapat empat buah sungai di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jemoreng memerlukan kelulusan peruntukkan sebanyak RM500,000 daripada kerajaan negeri atau pusat bagi melaksanakan program membersih sungai yang semakin sempit.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng Datuk Dr Juanda Jaya berkata, langkah tersebut adalah untuk membersih sungai tersebut sebagai tindakan jangka panjang bagi meminimumkan kesan hujan lebat dan air pasang.

    "Kerja pembersihan sungai ini amat diperlukan kerana ia tidak pernah dilakukan secara intensif sejak sekian lama," katanya ketika perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (2018), 2017 di DUN semalam.

    Jelasnya, keadaan sungai semakin sempit akibat pengangkutan sungai tidak seaktif zaman dahulu.

    "Alhamdulillah, pada tahun 2016 menyaksikan buat pertama kalinya banjir tidak menimpa Daerah Matu.

    "Ini adalah hasil kerjasama pegawai dan agensi kerajaan seperti Jabatan Perparitan dan Saliran (DID) membantu saya dan penduduk menangani meminimumkan kesan hujan lebat dan air pasang akhir tahun," ujarnya.

    Tambah beliau, pihak DID Mukah membelanjakan sejumlah wang untuk aktiviti pembersihan tersebut dan beliau memohon agar kerajaan pusat dan negeri meluluskan peruntukkan seperti yang diusul. - Sarawakiana
  • No Comment to " #DUNSarawak: DUN Jemoreng Perlukan RM500 Ribu Untuk Bersihkan 4 Sungai Di Matu "