• #DUNSarawak: Dapatkan Geran Kerajaan Untuk Pembungkusan, Penjenamaan Produk

    Published: Thursday, 9 November 2017
    A- A+

    KUCHING: Usahawan di Sarawak digalakkan untuk mendapatkan geran bagi menambahbaik pembungkusan dan penjenamaan melalui kerjasama pelbagai agensi kerajaan negeri.

    Menteri Muda Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan Usahawan Datuk Naroden Majais berkata, SME Corp menawarkan bantuan di bawah Program Bumiputera Enterprise Enhancement (BEEP) dan Business Accelerator Program (BAP) untuk membangunkan pembungkusan produk.

    Malah menurutnya, bimbingan bagi mereka bentuk pembungkusan dan penjenamaan mengambilkira produk ke arah pensijilan Halal dan Mesti (Makanan Selamat Tanggungjawab Industri).

    "Kementerian turut bekerjasama dengan agensi keusahawanan seperti SEDC, SME Corp, MARA, MARDI, SIRIM, JAIS, Jabatan Pertanian Sarawak dan FAMA untuk tujuan pembangunan produk.

    "Manakala untuk pemasaran, kementerian telah membangunkan Anjung Usahawan, Sarawak Product Pavilion (SPP) di Kuala Lumpur selain daripada program promosi seperti Satu Daerah Satu Industri (SDSI), Jerayawara Usahawan Sarawak (SUS), MIHAS, HALFEST, Minggu PKS, Brunei Consumer Fair dan sebagainya," katanya.

    Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ripin Lamat (BN-Lambir) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

    Ripin bertanya mengenai usaha kerajaan dalam meningkatkan kualiti barangan dan pemasaran produk usahawan kecil dan sederhana terutama dari segi pembungkusan dan penjenamaan.-Sarawakiana
  • No Comment to " #DUNSarawak: Dapatkan Geran Kerajaan Untuk Pembungkusan, Penjenamaan Produk "