• #DUNSarawak: Bekal Air Boleh Diminum Seluruh Sarawak Menjelang 2025

    Published: Wednesday, 15 November 2017
    A- A+


    KUCHING: Kerajaan negeri merancang membekalkan air boleh diminum kepada keseluruhan penduduk Sarawak menjelang 2025 menerusi Program Bekalan Air Alternatif Luar Bandar Sarawak (SAWAS).

    Menteri Utiliti, Dato Sri Stephen Rundu Utom berkata, SAWAS akan membekalkan air boleh diminum ke kawasan terpencil yang hanya dihubungkan dengan sistem air grid.

    "SAWAS merupakan program utama bekalan air luar bandar untuk membolehkan 100 peratus liputan air boleh diminum di Sarawak menjelang 2025," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

    Beliau turut berharap kerajaan persekutuan menyediakan lebih peruntukan untuk pelaksanaan projek bekalan air luar bandar di Sarawak termasuk di bawah program SAWAS.

    "Ia penting bagi memastikan 99 peratus liputan air bersih dan terawat seperti yang disasarkan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11)," ujarnya.

    Menurut Rundi, kementeriannya dalam proses untuk mengazetkan 58 kawasan tadahan air yang mana 29 kawasan sudah digazet sebelum ini.

    "Kita komited untuk mencapainya sebelum hujung tahun ini," jelasnya.-Sarawakiana
  • No Comment to " #DUNSarawak: Bekal Air Boleh Diminum Seluruh Sarawak Menjelang 2025 "