• #DUNSarawak : 9 Sekolah Di DUN Tanjong Datu Perlu Perhatian Segera

    Published: Tuesday, 14 November 2017
    A- A+

    KUCHING : Terdapat sembilan sekolah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Dato memerlukan pemulihan dan pembangunan semula, kata Datuk Amar Jamilah Anu (BN-Tanjung Dato).

    Menurutnya, sekolah-sekolah tersebut bukan sahaja memerlukan baikpulih terhadap bilik darjah, malah kuarters-kuarters guru juga sangat perlu dibaikpulih atau dalam keadaan tertentu perlu pembinaan semula.

    “Saya amat bersimpati terhadap anak-anak kita yang terpaksa belajar dalam keadaan yang serba kekurangan, namun saya percaya mereka serta guru-guru mempunyai motivasi serta impian untuk mencapai kejayaan,” katanya.

    Beliau berkata demikian semasa menyampaikan perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan (2018) pada Persidangan DUN Sarawak hari ini.

    Antara sekolah yang terlibat adalah tujuh buah sekolah rendah iaitu SK Telok Melano, SK Pueh, SK Pugu, Sk Rambungan, SK Stunggang Melayu, SK Stunggang Temelan, SK Sebat dan dua buah sekolah menengah iaitu SMK Sematan dan SMK Lundu.

    “SMK Sematan kini tidak lagi mempunyai ‘perimeter fencing’ kerana terlalu usang dan sudah roboh,"

    “Ini menimbulkan isu keselamatan terhadap pelajar-pelajar khasnya pelajar asrama kerana telah berlaku pencerobohan oleh orang luar,” katanya.

    Jamilah berkata, beliau dimaklumkan bahawa pencerobohan tersebut dilakukan oleh pekerja-pekerja kebun dan ladang yang terdapat di belakang sekolah berkenaan dan berharap perkara ini mendapat perhatian serius dari pihak kementerian.

    Mengenai SMK Lundu pula, Jamilah menjelaskan, sekolah tersebut memerlukan bangunan baharu untuk Pendidikan Khas bagi menempatkan 70 orang pelajar.

    “Setakat ini, hanya terdapat tiga buah kelas yang sepatutnya hanya untuk 21 orang pelajar. Selain itu, sekolah ini juga memerlukan sebuah perpustakaan baharu dan kerja-kerja pendawaian semula,” ujarnya - Sarawakiana
  • No Comment to " #DUNSarawak : 9 Sekolah Di DUN Tanjong Datu Perlu Perhatian Segera "