• #DUNSarawak: 75 Guru Interim Dapat Peluang Terakhir

    Published: Monday, 13 November 2017
    A- A+

    KUCHING: Seramai 75 guru interim yang gagal dalam Ujian Kelayakan Calon Guru (UKCG) atau ujian psikometrik diberi peluang terakhir untuk menduduki kembali ujian tersebut.

    Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Dato Sri Michael Manyin Jawong berkata, kesemua mereka akan menduduki ujian tersebut pada 30 November ini.

    Malah menurutnya, ini merupakan kali ketiga mereka menduduki ujian tersebut selepas gagal dua kali.

    "Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak sedang berusaha untuk membantu 75 guru interim yang gagal kali kedua untuk menduduki ujian psikometrik pada hujung November 2017," katanya.

    Beliau berkata demikan ketika sidang media pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

    Beliau menjelaskan, pada tahun 2016 seramai 601 siswazah dari Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) ditawarkan jawatan guru interim berdasarkan kekosongan serta keperluan sekolah menengah di Sarawak.

    Daripada jumlah itu menurutnya, seramai 392 orang lulus dan 209 lagi tidak melepasi UKCG/ujian psikometrik.

    "Bagi 209 guru interim yang tidak melepasi ujian psikometrik perkhidmatan mereka telah ditamatkan pada 15 Mac 2017. Mengikut syarat tawaran guru interim jika mereka tidak melepasi ujian berkenaan perkhidmatan mereka akan ditamatkan.

    "Semua calon telah dimaklumkan tentang syarat berkenaan semasa mereka menerima tawaran sebagai guru interim," ujarnya.

    Di atas inisiatif Manyin, beliau berjumpa dengan Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid pada 31 Mei lepas untuk memohon 75 guru interim yang tidak melepasi ujian kali kedua tersebut diberi peluang ketiga dan terakhhir.-Sarawakiana




  • No Comment to " #DUNSarawak: 75 Guru Interim Dapat Peluang Terakhir "