• #DUNSarawak: 7 Projek Bandar Pintar Dilaksana Libatkan Kampung Tradisi

    Published: Thursday, 16 November 2017
    A- A+


    KUCHING : Kerajaan negeri kini sedang giat menjalankan beberapa projek pembaharuan bandar dengan menyediakan rakyat sumber asas yang mencukupi dalam memastikan kemampanan ekonomi, sosial dan alam sekitar secara keseluruhan.

    Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli II, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pembaharuan bandar melibatkan pembangunan semula kawasan penempatan yang sesak dan usang untuk menjadi kawasan persekitaran hidup yang kondusif, selamat dan sihat.

    “Dalam projek ini, konsep bandar pintar akan turut diterapkan mengikut keperluan setempat. Konsep bandar pintar menekankan penggunaan teknologi digital untuk tujuan penguruan persekitaran yang lebih cekap dan bersepadu.

    “Sebanyak tujuh buah projek yang sedang dijalankan atau dalam beberapa peringkat perancangan dibawah program pembaharuan bandar dan kampung iaitu Darul Hana, Kampung Sungai Bedaun, Kampung Sejingkat, Kampung Tabuan Melayu (Kuching), Kampung Datu Baru, Kemuyang (Sibu) dan Kampung Baru (Kapit),” katanya.

    Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan penggulungan bagi kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini.

    Selain itu, Tengah berkata, pada masa yang sama, pembangunan luar bandar melalui penyediaan pusat-pusat perkhidmatan turut diberi perhatian khusus.

    “Pembangunan luar bandar ini sangat penting agar jurang ekonomi antara kawasan bandar dan luar bandar dapat dirapatkan untuk membolehkan rakyat menikmati hasil pembangunan secara saksama,.

    “Antara projek yang sedang dilaksanakan adalah Pembangunan Bandar Baru di Sebuyau, Matu dan Daro," ujarnya.

    Tengah menambah, pelaksanaan pembangunan secara bersepadu luar bandar disokong oleh penyediaan kemudahan asas, tempat perniagaan, dan kemudahan ICT dijangka dapat merancakkan lagi kegiatan ekonomi terutama dalam mengembangkan pembangunan industri desa.

    “Ini sudah tentunya dapat meningkat lagi pendapatan penduduk luar bandar,” jelasnya.- Sarawakiana
  • No Comment to " #DUNSarawak: 7 Projek Bandar Pintar Dilaksana Libatkan Kampung Tradisi "