• #DUNSarawak: 6 Kemudahan Belia, Sukan Siap Tahun Depan

    Published: Wednesday, 15 November 2017
    A- A+

    KUCHING : Sebanyak enam kemudahan belia dan sukan yang masih dalam proses pembaikan di seluruh negeri dijangka siap sepenuhnya tahun hadapan.

    Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, sejumlah RM229.45 juta telah diperuntukkan bagi pembinaan dan menaiktaraf kemudahan belia dan sukan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

    “Pusat Belia dan Sukan Sarawak (permainan kampung) merupakan salah satu projek utama yang akan dibina dan kini sedang dalam peringkat perancangan reka bentuk dan dijangka memulakan pembinaan pada tahun 2018.

    “Bagi pembinaan kompleks kolam renang Betong pula baru berjalan lancar dan dijangka siap pada Disember 2018,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

    Selain itu, kerja-kerja naiktaraf Kompleks Sukan Miri dan Kapit sedang berada dalam proses tender dan dijangka siap menjelang Februari 2018.

    “Untuk Kompleks Sukan Sarikei, kerja-kerja menaiktaraf telah dimulakan pada Julai 2017 di bawah projek transformasi luar bandar dan dijadualkan siap pada April 2018,” ujarnya.

    Tambahnya lagi, untuk Kem Belia iaitu di Pueh Sematan, Mukah dan Kemuyang Sibu, Karim berkata kerja-kerja penambahbaikan untuk ketiga-ketiga kem berkenaan dijangka siap pada awal tahun 2018.

    Sementara itu, Karim berkata, Sarawak telah berjaya dalam sukan di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa dan amat penting untuk mengekalkan prestasi disamping menjadikan Sarawak sebagai kuasa besar sukan di Malaysia.

    “Oleh itu, adalah penting untuk kerajaan negeri membantu atlet-atlet Sarawak mengembangkan potensi sukan mereka sambil mengimbangi kepentingan pendidikan akademik,” jelasnya. - Sarawakiana
  • No Comment to " #DUNSarawak: 6 Kemudahan Belia, Sukan Siap Tahun Depan "