• #DUNSarawak: 205 Sekolah Usang Di Sarawak Dibina Semula, Dinaiktaraf

    Published: Thursday, 16 November 2017
    A- A+

    KUCHING: Sebanyak 205 sekolah usang di Sarawak akan dibina semula dan dinaiktaraf dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

    Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Dato Sri Michael Manyin Jawong berkata, bagi 210 sekolah lagi dibina dan dinaiktaraf di bawah peruntukan khas RM1 bilion seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Bajet 2018 baru-baru ini.

    "Kementerian saya akan terus memfokuskan keoada 415 sekolah usang di negeri ini termasuk membina semula dan menaiktaraf," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam.

    Beliau berharap pembinaan semula dan menaiktaraf menggunakan peruntukan RM1 bilion dapat dilaksanakan pada tahun 2018 dan 2019.

    "Kita bersyukur kerana Perdana Menteri memperuntukkan RM1 bilon kepada Sarawak untuk menyelesaikan isu membabitkan sekolah usang," ujarnya.

    Mengulas mengenai sekolah kurang murid, Manyin berkata, banyak aspek menyebabkan sekolah kurang murid.

    "Ia termasuk peruntukan bajet daripada Kemnterian Pendidikan berdasarkan bilangan pelajar sekolah.

    "Sekolah kurang murid menerima peruntukan bajet rendah menyebabkan kesukaran untuk menyediakan peralatan, sumber dan penyelenggaraan," jelasnya.

    Selain itu menurut Manyin, sekolah yang mempunyai pelajar yang kurang tidak dapat menyediakan persekitaran belajar terbaik.

    "Sebagai contoh tahun ini, terdapat 417 sekolah mempunyai 10 atau kurang pelajar menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR)," kata Manyin.-Sarawakiana
  • No Comment to " #DUNSarawak: 205 Sekolah Usang Di Sarawak Dibina Semula, Dinaiktaraf "