• #DUNSarawak : 2 Stesen AQMS Dibina Di Lundu, Bario

    Published: Thursday, 16 November 2017
    A- A+

    KUCHING : Kerajaan melalui Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) akan membina dua buah lagi Stesen Pemantauan Kualiti Udara (AQMS) yang baru bertempat di Lundu dan Bario pada tahun 2018 dan 2019.

    Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli II, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pembinaan stesen tersebut adalah bagi memantapkan lagi keupayaan kerajaan dalam memantau dan menangani kes jerebu terutamanya jerebu rentas sempadan.

    “Tiga buah AQMS yang sedia ada akan dinaik taraf supaya dapat memberi bacaan Particulate Matter (PM) 2.5 mikron selain dari bacaan PM10 mikron yang sedia ada.

    “Jabatan Alam Sekitar juga telah membina dua buah stesen AQMS yang baru di Samalaju dan Mukah dan menjadikan jumlah keseluruhannya sebanyak 12 buah di dalam kawasan bandar di seluruh negeri Sarawak,” katanya.

    Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan penggulungan bagi kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini.

    Sementara itu, menurut Tengah, pihak NREB juga telah menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MOU) dengan pihak Sarawak Timber Association (STA) bagi pelaksanaan Projek Perintis Audit Alam Sekitar bersama lapan syarikat perkayuan di negeri Sarawak.

    “Perlaksanaan sistem audit ini akan bermula sepenuhnya pada tahun 2019 bertujuan untuk meningkatkan pematuhan kendiri dalam semua sektor pembangunan di negeri ini disamping memenuhi criteria dan indicator persijilan Malaysia untuk pengurusan hutan secara lestari serta pasaran produk antarabangsa,” ujarnya.- Sarawakiana
  • No Comment to " #DUNSarawak : 2 Stesen AQMS Dibina Di Lundu, Bario "