• Dua anggota Maritim Malaysia direman

    Published: Monday, 6 November 2017
    A- A+


    KUCHING: Dua anggota Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sarawak direman tujuh hari, mulai hari ini kerana disyaki terbabit dalam sindiket membawa masuk nelayan asing.

    Perintah tahanan reman itu dikeluarkan oleh Majistret Zaiton Anuar terhadap dua suspek berusia 50 dan 53 tahun itu selepas menerima permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Kedua-dua suspek ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai rasuah, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Mereka antara 10 anggota Maritim Malaysia yang ditahan oleh SPRM dari beberapa tempat di Sabah, Sarawak, Pahang dan Terengganu, semalam kerana disyaki terbabit dalam sindiket membawa masuk nelayan asing.

    Difahamkan, lima orang awam yang ditahan di Bintulu dan Miri berkaitan kes sama, juga ditahan reman mulai hari ini.

    Sementara itu, Unit Komunikasi Strategik SPRM memaklumkan Ketua Pengarah SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad dan Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Datuk Seri Zulkifli Abu Bakar dijadual mengadakan sidang akhbar berhubung kes itu di ibu pejabat SPRM di Putrajaya tengah hari ini.-BHOnline
  • No Comment to " Dua anggota Maritim Malaysia direman "