• Drama Adaptasi Novel Bawa 'Budaya Menakutkan'

    Published: Friday, 24 November 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Aliran drama adaptasi daripada novel yang kini menjadi kegilaan masyarakat umum bukan saja membawa budaya baharu menakutkan malah dianggap tidak banyak membantu penonton untuk membina kehidupan.

    Pensyarah Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Asiah Sarji, berkata dapatan daripada kajian kumpulan fokus yang disertai 'orang besar' dalam industri itu mendedahkan sebahagiannya berpunca daripada sikap pemain industri yang hanya mahu memenuhi 'tuntutan' peminat dan penonton sedia ada.

    "Penerbit hanya mahu menjual buku, manakala stesen televisyen pula mahu mendapat 'rating' yang tinggi sehingga mereka menggunakan novel ringan kerana ia mempunyai penonton tersedia dan ini yang menyebabkan kita terperangkap.

    "Akhirnya, kita menyaksikan tahun demi tahun, nilai sesebuah telenovela semakin buruk sehingga ia sudah menjadi hidangan yang tidak lagi menyeronokkan jiwa," katanya pada Forum Buku ke Skrin (Book2Screen) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini.

    Yang turut hadir Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), Mohd Khair Ngadiron; Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Nora Noordin dan produser, Datin Paduka Shuhaimi Baba.

    Wujudkan kriteria pemilihan

    Asiah berkata, keadaan itu boleh diubah dengan mewujudkan penyelesaian strategik dengan kewujudan badan tertentu memilih beberapa novel yang memenuhi kriteria yang baik.

    "Kriteria dipilih bukan saja novel yang menjadi pilihan ramai, bahkan mempunyai kandungan yang bagus dan kemudian diterbitkan dengan sokongan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS).

    "Dengan cara ini, kita bukan saja sudah melaksanakan tanggungjawab bagi menyediakan pekerjaan buat pekerja dalam industri ini, bahkan mengangkat kualiti drama dan penonton," katanya pada forum yang dikendalikan pelakon, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar.

    Sementara itu, Shuhaimi meletakkan cabaran sebenar dalam menentukan haluan sesuatu naskhah itu termasuk memberi interpretasi lebih segar dan baharu kepada pengarahnya.

    Sukar mencari kepuasan intelektual

    "Sukar mencari kepuasan intelektual dalam telenovela sebegini kerana ia hanya satu bentuk hiburan saja tetapi sebagai pengarah, mereka perlu mencari interpretasi baharu untuk ditampilkan kepada penonton supaya dilihat sebagai karya yang bagus.

    "Penulis juga perlu mencari kelainan. Saya sendiri membaca Tuhfat al-Nafis dalam rangka menyiapkan naskhah terbaru dan persediaan sebegini sebenarnya sebahagian daripada peranan kita apabila terbabit dalam bidang ini.

    "Kita perlu 'menyeberang' keluar dari dunia sendiri supaya karya tempatan berpeluang diterjemah ke dalam pelbagai bahasa lain," katanya.

    Dalam isu drama import, Mohd Khair berkata, adaptasi drama dari luar tidak memaparkan 'rupa' tradisi tempatan disebabkan ia diterjemahkan secara literal.

    Drama perlukan terjemahan

    "Terjemahan yang dilakukan perlu melihat apakah keadaan sebenar yang berlaku di negara kita dan untuk membawa telenovela ini ke peringkat antarabangsa.

    "Kepakaran penterjemahan itu amat penting dan ITBM sendiri mampu menterjemah ke pelbagai bahasa," katanya.

    Beliau berkata, dalam dunia kreatif kini, pemain industri tidak hanya boleh melihat ruang yang ada mengikut kepompong sendiri saja, sebaliknya perlu mengkaji bagaimana Korea Selatan mengeksport hasil kerja negaranya pada semua peringkat.

    "Pada masa sama, kualiti juga perlu dititikberatkan supaya apa yang dihasilkan tidak hanya menghibur dan memberi keseronokan, sebaliknya mendidik dan menambah ilmu pengetahuan masyarakat," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Drama Adaptasi Novel Bawa 'Budaya Menakutkan' "