• Dibelasah Orang Ramai Setelah Cubaan Samun Gagal

    Published: Tuesday, 7 November 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Seorang lelaki berusia 26 tahun dibelasah dan ditahan oleh orang ramai sebelum diserahkan kepada pihak polis selepas cubaannya untuk menyamun sebuah kedai serbaneka gagal dalam satu kejadian di Setapak dekat sini semalam.

    Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sharif berkata dalam kejadian sekitar pukul 9 malam itu, suspek bersama seorang lagi rakannya masuk ke kedai serbaneka tersebut ketika tiada pelanggan lain.

    "Kedua-dua suspek yang bersenjatakan tukul dan parang mengambil beberapa barangan seperti rokok dan kad tambah nilai prabayar.

    "Pergelutan berlaku apabila pekerja kedai serbaneka tersebut enggan menyerahkan wang tunai sebelum kedua-dua mereka bertindak melarikan diri,' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

    Menurut Mohamad Roy Suhaimi, kejadian tersebut disaksikan oleh orang ramai yang bertindak menahan salah seorang suspek.

    "Pihak polis sedang meneliti rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) premis berkenaan dan bangunan berhampiran bagi mengesan suspek yang melarikan diri.

    "Usaha mengesan seorang lagi suspek sedang giat dijalankan dan kes kini disiasat dibawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan," ujar beliau. - K! ONLINE



    Subjects:

  • No Comment to " Dibelasah Orang Ramai Setelah Cubaan Samun Gagal "