• DFTZ Jangka Transaksi Yang Besar

    Published: Thursday, 9 November 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) dijangka menjana transaksi dalam talian yang besar membabitkan tempahan pembelian, pergerakan perdagangan, pembayaran dan lebih banyak masuk dan keluar dari negara dan rantau ini.

    Ketua Pegawai Eksekutif Fusionex Group, Datuk Seri Ivan Teh, berkata inisiatif oleh kerajaan dan Alibaba Group itu akan membuka laluan kepada platform perdagangan digital yang lancar, akan menghapuskan halangan yang tidak perlu, mengurangkan kos dan mengelak atau meminimumkan kelewatan dan bebanan yang tidak perlu.

    Fusionex menerajui konsortium yang menyediakan platform e-perkhidmatan bagi DFTZ, inisiatif bersama oleh kerajaan dan syarikat utama pasaran e-dagang, Alibaba.

    Teh berkata, DFTZ akan memudahkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta peniaga memanfaatkan komuniti Internet dan e-pasaran, sambil menambah faedah kos dan kecekapan akan memberi manfaat kepada pengguna yang akan menikmati produk dan penunaian yang lebih cepat, cekap dan menjimatkan.

    "Inisiatif berkenaan menandakan permulaan cara revolusi untuk menjalankan perdagangan dengan pantas dan besar-besaran di peringkat serantau dan global," katanya dalam satu kenyataan.

    DFTZ hab digital pertama yang menghimpunkan pelbagai pihak utama termasuk penggiat fasilitasi perdagangan, peserta e-pasaran, agensi kerajaan, penyedia logistik, pengangkut barang serta perusahaan kecil dan sederhana.

    "Platform e-perkhidmatan yang serba moden diperkasakan oleh, antaranya, teknologi data raya dan pembelajaran mesin yang akan memudahkan perdagangan dan membolehkan transaksi dijalankan dengan lebih cepat, lebih menjimatkan, lebih dipercayai dan lebih cekap," katanya. - BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " DFTZ Jangka Transaksi Yang Besar "