• Demi sesuap nasi

    Published: Friday, 10 November 2017
    A- A+


    MARANG: Barangan terbuang seperti plastik, kertas, tin minuman dan besi buruk yang dikutip dari tong sampah menjadi sumber rezeki kepada Jusoh Said, 46, meneruskan kehidupan selepas diserang penyakit misteri lebih setahun lalu.

    Dia yang tinggal sebatang kara di rumah pusaka peninggalan bapanya yang usang di Kampung Paya Resak di sini, berkata, penyakit itu menyebabkan kaki dan pinggangnya menjadi lemah sekali gus menyukarkannya melakukan kerja berat.

    Jusoh yang pernah bekerja di Perwaja Steel, Telok Kalong di Chukai berkata, dia tidak malu apabila terpaksa menyelongkar tong sampah bagi mencari bahan buangan yang boleh dijual kerana menganggap ia lebih baik daripada mengharap belas ihsan orang lain.

    “Setiap hari bermula jam 9 pagi hingga 5 petang saya menunggang motosikal buruk keluar mencari botol plastik, kertas, tin minuman dan besi buruk serta apa saja barangan lain di dalam tong sampah yang boleh dijual sekitar kawasan Bukit Payung.

    “Saya tidak malu melakukan pekerjaan ini kerana ini saja kerja yang mampu saya buat. Semua barang yang saya kutip kemudian dikumpul di hadapan rumah sebelum dijual di pusat kitar semula di Pulau Musang 10 kilometer dari rumah.

    “Setiap jualan dapat RM10 dan duit itu saya gunakan untuk mengisi perut dan minyak motosikal,” katanya ketika ditemui di rumahnya.

    Dia juga menyedari berdepan pelbagai risiko termasuk kemalangan ketika berada di jalan raya berikutan kenderaan yang digunakan tidak sempurna dan sering mengalami kerosakan.

    Jusoh yang pernah menjalani kehidupan selesa suatu ketika dulu berkata, dia terpaksa menggunakan motosikal berkenaan kerana kenderaan itu satu-satunya yang dia ada dan boleh digunakan.

    “Saya tahu bahaya tetapi saya tidak ada pilihan selain menggunakan motosikal ini untuk bergerak. Saya tidak mampu membaiki motosikal ini apatah lagi membeli kenderaan yang lebih sempurna,” katanya yang mengidamkan motosikal roda tiga.

    Menurutnya, kenderaan itu memudahkan dia membawa barangan yang dikutip selain melakukan pekerjaan lain seperti menjual sayur dan ikan di kawasan kampung.

    “Saya berharap ada pihak yang sudi membantu sa-
    ya mendapatkan kenderaan berkenaan,” katanya yang memperoleh pendapatan antara RM250 hingga RM300 sebulan.

    Selain itu, Jusoh juga mengharapkan ada pihak yang sudi menghulurkan bantuan membaiki kediamannya yang rosak teruk akibat ribut sebelumi ini.

    Menurutnya, rumahnya sudah usang kerana sebahagian dinding roboh manakala bahagian lantai runtuh akibat dimakan anai-anai.-hmetro

    Subjects:

  • No Comment to " Demi sesuap nasi "