• 'Datuk Kabi' dituduh menipu lagi

    Published: Friday, 3 November 2017
    A- A+
    SEORANG ahli perniagaan yang dikenali sebagai 'Datuk Kabi' dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Klang, hari ini, atas 27 pertuduhan menipu beberapa individu termasuk pemilik syarikat berkaitan diskaun pembayaran tunggakan bil elektrik dengan nilai kerugian hampir RM2 juta di antara September hingga November tahun lalu.

    Tertuduh, C Kamaleshwaran, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Emilia Kaswati Mohamad Khalid.

    Turut didakwa ialah isteri tertuduh N Bavani, 31, dengan 23 pertuduhan bersubahat dengan suaminya dalam kes berkenaan.

    Mengikut semua pertuduhan, Kamaleshwaran didakwa menipu beberapa individu termasuk pemilik syarikat dalam urusan pemberian diskaun pembayaran bil Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebanyak 20 peratus sehingga mendorong mereka menyerahkan wang berkenaan kepadanya.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di beberapa lokasi di sekitar bandar Klang antara September hingga November 2016 dan dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 10 tahun serta sebatan.

    Sementara itu, Bavani didakwa bersubahat dengan suaminya mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 kanun yang sama.

    Timbalan Pendakwa Raya, Siti Fatimah Yahya yang mengendalikan kes menawarkan jaminan RM25,000 bagi setiap pertuduhan kepada setiap tertuduh.

    Peguam P Visnuvarman yang mewakili kedua-dua tertuduh bagaimanapun memohon jumlah jaminan dikurangkan berikutan ahli keluarga tertuduh tidak berkemampuan untuk membayar jaminan yang tinggi.

    Emilia kemudian menetapkan kedua-dua tertuduh masing-masing diikat jamin sebanyak RM270,000 dan RM115,000.

    Pasport antarabangsa juga perlu diserahkan kepada mahkamah dan kedua-duanya diarahkan untuk melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap awal bulan.

    Kes disebut semula 14 Disember ini. - HMetro

    Subjects:

  • No Comment to " 'Datuk Kabi' dituduh menipu lagi "