• Dari ‘budak kurus’ di Malaysia ke Rumah Putih

    Published: Friday, 3 November 2017
    A- A+
    Seorang kelahiran Malaysia yang menerajui gergasi semikonduktur Broadcom diraikan Presiden Donald Trump di Rumah Putih semalam, apabila syarikat itu mengumumkan perpindahan ibu pejabat dari Singapura ke Amerika Syarikat.

    “Ibu saya sama sekali tidak akan menyangka suatu hari nanti anaknya akan berada di Rumah Putih, berdiri di samping presiden AS,” kata Hock E Tan, ketua pegawai eksekutif Broadcom, sebuah syarikat Fortune 500 yang menggaji 15,000 kakitangan, sebahagiannya di AS.

    Pada ketika itu juga, Trump memegang bahu Tan dan mencelah: “Ibu saya pun!”, lalu mengundang tawa daripada hadirin.

    Tan, 65, yang lahir di Pulau Pinang, mengenang kembali zaman remaja di Malaysia sebelum menerima tawaran melanjutkan pelajaran ke Institut Teknologi Massachusetts (MIT).

    “Pada 1971, saya hanya seorang budak kurus berusia 18 tahun, yang diberi peluang untuk menyertai sekolah kejuruteraan terbaik di AS, malah di dunia,” katanya.

    Tan berkata dirinya bertuah kerana melepasi sistem pendidikan AS.

    “Ibu saya tidak mahu menghantar saya ke kolej, apa lagi MIT. Hingga ke hari ini, saya hairan institusi pendidikan AS itu memilih saya, dan memberi biasiswa untuk mengejar impian,” kata Tan.

    Tan berkata dengan memindahkan ibu pejabat Broadcom kembali ke AS, beliau mahu “berbakti kepada negara yang banyak memberi kepada saya”.

    “Hari ini, kami mengumumkan kami akan menjadikan AS ‘rumah’ kami sekali lagi,” tambahnya.

    Pada 2015, Tan yang menerajui Avago Technologies Ltd yang berpangkalan di Singapura, memberi Broadcom Corp untuk AS$37 bilion, menjadikannya pemerolehan teknologi terbesar dalam sejarah, mengatasi urusjanji WhatsApp-Facebook yang bernilai AS$22 bilion.

    Broadcom menghasilkan cip untuk modem, televisyen, wi-fi dan pengalih di pusat data.

    Syarikat itu pembekal utama kepada Apple Inc., dan berasal daripada Hewlett-Packard.

    Menurut Bloomberg, hasrat Tan untuk mendapat lebih banyak urusjanji mungkin berdepan halangan daripada wakil rakyat AS. - FMT



    Subjects:

  • No Comment to " Dari ‘budak kurus’ di Malaysia ke Rumah Putih "