• Dakwaan Pajak Blok Minyak Tidak Benar

    Published: Thursday, 9 November 2017
    A- A+

    KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak memajak blok minyak dan gas di Sabah kepada China untuk mendapatkan pinjaman RM100 bilion, bagi projek Saluran Paip Gas Trans Sabah (TSGP) seperti didakwa.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, berkata, tuduhan tidak berasas itu penipuan jelas dan terancang didalangi pihak tidak bertanggungjawab yang bertujuan mendapat manfaat daripada kemarahan rakyat Sabah terhadap kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

    Katanya, meskipun projek itu dibiayai melalui pinjaman Export and Import (EXIM) Bank of China, namun, dakwaan bahawa jumlah pinjaman mencecah RM100 bilion dan blok minyak dan gas di Sabah dipajakkan kepada China, sebagai syarat mendapat kelulusan pinjaman tidak benar sama sekali.

    "Jumlah pinjaman sebenarnya ialah RM4.53 bilion merangkumi kos projek, dan pinjaman dijamin kerajaan Persekutuan," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

    Beliau mengulas tentang tuduhan itu yang tular di media sosial termasuk aplikasi WhatsApp sejak petang semalam.

    Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, projek TSGP memerlukan kerjasama di antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri memandangkan hal berkaitan tanah di bawah bidang kuasa negeri seperti tertakluk dalam Perlembagaan.

    "Ini sekali gus membuktikan tuduhan bahawa kononnya tiada pembabitan serta perbincangan antara kedua-dua kerajaan mengenai projek berkenaan tidak benar sama sekali," katanya.

    Katanya, projek pembinaan paip gas bermula dari Kimanis ke Kota Kinabalu, Tuaran, Kota Belud, Kota Marudu, Sandakan dan Tawau itu mampu menambah nilai komoditi dan bahan mentah tempatan, seterusnya mengurangkan kebergantungan kepada industri awalan, selain mencipta pekerjaan untuk rakyat Sabah.

    Abdul Rahman berkata, rakyat perlu berhati-hati dengan berita tidak sahih yang disebarkan pihak tidak bertanggungjawab yang hanya ingin menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat. - BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Dakwaan Pajak Blok Minyak Tidak Benar "