• Dadah bernilai RM32.4 juta dirampas dalam 6 serbuan

    Published: Thursday, 2 November 2017
    A- A+


    JOHOR BAHRU: Polis membongkar satu makmal memproses dadah di Kampung Kong Kong Laut, Masai dan merampas 238 kilogram dadah serta lebih 50,000 pil ecstacy bernilai RM32.4 juta dalam enam serbuan berasingan.

    Dalam serbuan bermula jam 1.30 hingga 7.45 pagi kelmarin, lapan ahli sindiket, termasuk masing-masing seorang warga Singapura dan Vietnam ditahan.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh, berkata enam lokasi serbuan adalah di Desa Cemerlang, Permas Jaya dan dua serbuan masing-masing di Bandar Baru Permas Jaya dan Kampung Kong Kong Laut di Masai.

    Katanya, sebanyak 51,750 pil dadah disyaki ecstacy serta 227.6 kilogram serbuk dadah disyaki ecstacy yang boleh menghasilkan 756,667 biji pil dirampas dalam semua serbuan itu.

    "Polis turut merampas 10.51 kilogram dadah disyaki syabu yang keseluruhannya bernilai RM32.4 juta. Selain itu sebanyak 713 kilogram bahan kimia pelbagai jenis dan peralatan memproses dirampas yang jika diproses boleh menghasilkan dadah bernilai RM46 juta.

    "Sebanyak RM350,000 wang tunai pelbagai mata wang seperti Dollar Singapura, Dong Vietnam, Dollar Amerika dan Dollar Australian, selain tujuh kenderaan pelbagai jenama turut dirampas dalam serbuan itu yang keseluruhannya bernilai RM590,000.

    "Lapan yang ditahan terdiri daripada enam lelaki tempatan, seorang lelaki Singapura dan seorang perempuan Vietnam berusia antara 27 hingga 58 tahun," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini, hari ini.

    Yang turut hadir, Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd.

    Mohmad berkata, sindiket memproses ecstacy yang didalangi warga tempatan dan Singapura itu menjadikan kawasan terpencil iaitu kebun kelapa sawit di Kampung Kong Kong Laut.

    "Semua dadah ini dipercayai untuk pasaran tempatan, Indonesia dan Singapura dan polis masih lagi memburu baki ahli sindiket yang dipercayai masih bebas.

    "Semua tangkapan direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan," katanya.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Dadah bernilai RM32.4 juta dirampas dalam 6 serbuan "