• CIA Dedah 470,000 Dokumen, Video Osama

    Published: Thursday, 2 November 2017
    A- A+

    WASHINGTON: Agensi Perisikan Pusat (CIA) mendedahkan sejumlah dokumen dan video dirampas ketika serbuan Amerika Syarikat (AS) pada 2011 di Pakistan, mengorbankan pemimpin Al-Qaeda, Osama bin Laden.

    Penyelidik sebuah kumpulan pemikir Washington yang memiliki akses sebelum pendedahan dokumen sulit itu berkata, ia termasuk video perkahwinan anak lelaki Osama dan diari ditinggalkan militan kelahiran Arab Saudi itu.

    "Pendedahan hari ini memberi peluang kepada rakyat AS mengetahui rancangan dan tugas dilakukan pertubuhan pengganas," kata Pengarah CIA, Mike Pompeo.

    CIA meletakkan 470,000 fail tambahan dalam talian dirampas pada Mei 2011 ketika pasukan SEAL Tentera Laut AS menyerbu kediaman Osama di Abbottabad serta menembak mati pemimpin Al-Qaeda itu.

    Menurut ahli akademik dari Yayasan Pertahanan Demokrasi, Thomas Joscelyn dan Bill Roggio, pendedahan itu memberi pandangan baharu.

    "Dokumen ini akan melalui perjalanan panjang membantu mengisi sesetengah ruang kosong mengenai kepimpinan Al-Qaeda," kata Roggio.

    Kemasukan video perkahwinan Hamza bin Laden sebagai contoh, memberi dunia imej pertama anak lelaki kesayangan Osama ketika dewasa, dirakam di Iran. -AFP

    Subjects:

  • No Comment to " CIA Dedah 470,000 Dokumen, Video Osama "