• China Beri Jaminan Kurangkan Ketegangan Di Laut China Selatan

    Published: Tuesday, 14 November 2017
    A- A+
    MANILA, 13 Nov (Bernama) -- China telah memberikan respons positif bagi meredakan ketegangan di Laut China Selatan, termasuk memberi jaminan kebebasan pelayaran serta penerbangan di kawasan itu yang menjadi rebutan beberapa negara.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata rakan sejawatannya dari China, Li Keqiang pada Sidang Kemuncak ASEAN-China di sini hari ini telah menyatakan bahawa lautan itu akan menjadi "tonggak keamanan dan kestabilan" serta memberi jaminan tidak akan menggunakan kuasa ketenteraan.

    "Yang penting sekali isu Laut China Selatan, China lebih positif. Dia tidak mahu kawasan itu jadi kawasan ketegangan. Komited mereka tidak berubah untuk memastikan keamanan," katanya pada sidang media bersama media Malaysia selepas menghadiri sembilan mesyuarat ASEAN bersama rakan-rakan dialognya hari ini.

    Turut hadir Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman.

    Najib berkata Li Keqiang pada sidang itu juga menyatakan kesediaan China memulakan semula rundingan bagi memuktamadkan kerangka bagi Kod Tatalaku (CoC) mengenai Laut China Selatan.

    "Sebarang perbezaan pendapat perlu diuruskan secara positif dan konstruktif, berdasarkan kedaulatan undang-undang, pengekalan diri yang maksimum dan tidak menggunakan kekerasan atau ugutan,", katanya.

    Menurut beliau, apa yang penting ialah semua tuntutan bertindih di Laut China Selatan perlu diselesaikan berdasarkan rundingan dan penyelesaian secara keamanan.

    Idea mengenai CoC tercetus berikutan pertindihan tuntutan ke atas kawasan tertentu di Laut China Selatan.

    Najib juga berkata Malaysia dan ASEAN perlu mengambil peluang pertumbuhan ekonomi yang tinggi di China dengan meningkatkan eksport ke negara itu, serta menarik sebahagian besar daripada kira-kira 150 juta penduduknya yang dijangka melancong ke luar negara tahun ini.

    Mengenai Sidang Kemuncak ASEAN-Amerika Syarikat yang dihadiri Presiden Donald Trump, Najib berkata kehadiran Trump menunjukkan komited negara itu terhadap ASEAN tidak berubah walaupun berlaku perubahan dari segi pentadbiran.

    Perdana Menteri berkata beliau memberitahu Trump dan pemimpin ASEAN lain bahawa walaupun presiden berubah, ASEAN tetap jadi kawasan keutamaan negara itu.

    Amerika Syarikat merupakan pelaburan langsung asing (FDI) ketiga terbesar bagi ASEAN, iaitu US$11.7 bilion pada 2016 manakala perdagangan dua hala pula mencecah US$211.8 bilion. -- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " China Beri Jaminan Kurangkan Ketegangan Di Laut China Selatan "