• Charles, Camilla Lawat Malaysia

    Published: Wednesday, 1 November 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Putera Wales dan Duchess of Cornwall akan mengadakan lawatan rasmi pertama ke Malaysia mulai esok hingga 8 November ini, menurut Wisma Putra hari ini.

    Lawatan pewaris takhta Britain itu, Putera Charles dan isteri, Camilla Parker Bowles, adalah kunjungan rasmi ketiga anggota kerabat diraja Britain ke Malaysia sejak 1998.

    Sebelum ini, Ratu Elizabeth II dan suami baginda, Duke of Edinburgh, Putera Philip, menghadiri majlis perasmian Sukan Komanwel ke-16 di sini pada September 1998, diikuti pasangan diraja, Putera William (Duke) dan Kate Middleton (Duchess of Cambridge) pada September 2012.

    Menurut kenyataan itu, Putera Charles dan Camilla akan melawat beberapa tempat dan menyertai pelbagai program penting sempena sambutan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik antara United Kingdom dan Malaysia.

    Sepanjang lawatan, baginda dijangka bertemu pelbagai lapisan masyarakat Malaysia termasuk kerabat diraja, kanak-kanak kurang upaya dan komuniti perniagaan.

    Putera Charles dan Camilla juga dijangka mengadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, di Istana Negara serta mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

    Sempena lawatan bersejarah itu, Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) akan mengeluarkan setem peringatan khas Jumaat ini untuk menandakan peristiwa penting hubungan dua hala selama 60 tahun antara Malaysia dan United Kingdom.

    Hubungan dua hala kedua-dua negara merangkumi pelbagai bidang termasuk perdagangan, pertahanan dan keselamatan, pelaburan, pendidikan, ekonomi digital, teknologi hijau, tenaga boleh diperbaharui dan pelancongan.

    Malaysia adalah pasaran eksport kedua terbesar United Kingdom di ASEAN dan rakan dagang ketiga terbesar di Eropah.

    Dalam bidang pendidikan, ada lebih 18,000 pelajar Malaysia sedang melanjutkan pengajian di negara itu. - BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Charles, Camilla Lawat Malaysia "