• Celcom: Pelan Akan Dilancarkan Tingkatkan Pendapatan

    Published: Monday, 27 November 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR – Celcom Axiata Bhd dijangka akan melancarkan lebih banyak pelan pada tahun depan bagi meningkatkan lagi pendapatan perkhidmatannya, kata Ketua Pegawai Eksekutif Michael Kuehner.

    Katanya, untuk suku ketiga berakhir 30 Sept 2017, perolehan perkhidmatan menokok sebanyak 1.9 peratus kepada 1.52 bilion berbanding dengan suku kedua.

    “Walaupun tahun ini hanya tinggal enam minggu sahaja lagi, kita ada inovasi baharu yang akan mengejutkan pasaran,” katanya kepada pemberita selepas taklimat mengenai suku ketiga syarikat di sini hari ini.

    Celcom sentiasa meningkatkan mutu produknya dan yakin ia akan dapat mengakhiri tahun ini dengan lebih positif dan menggunakan sepenuhnya, perbelanjaan modal sebanyak RM1.3 bilion yang telah diperuntukkan.

    Sekarang ini, daripada RM1.3 bilion perbelanjaan modal, sejumlah RM670 juta telah dibelanjakan dalam projek-projek yang berlangsung pada suku sebelumnya.

    “Kita telah memperhebatkan usaha-usaha kami untuk memberikan pengalaman yang lebih baik kepada pelanggan di Sabah dan Sarawak dengan memperkenalkan sambungan internet melalui gentian berkelajuan tinggi baharu seperti Celcom Home Fibre dan Celcom Business Fibre, yang mampu memberikan 10 kali lebih cepat kelajuan muat turun sehingga 100 megabit sesaat.

    “Kita juga bekerjasama dengan Grab bagi membolehkan gaya hidup digital kepada pelanggan mudah alih,” katanya sambil menambah bahawa Celcom akan kekal fokus kepada menyediakan pengalaman pelanggan yang lebih baik dan mahu menguasai pasaran.

    Katanya, Celcom akan terus meningkatkan produktiviti dalam bidang fokus membabitkan individu, inovasi, teknologi dan proses-proses melalui inisiatif strategik.

    Kuehner berkata Celcom Axiata Bhd yakin untuk meningkatkan liputan Evolusi Jangka Panjang kepada 85 peratus menjelang akhir tahun ini — BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Celcom: Pelan Akan Dilancarkan Tingkatkan Pendapatan "