• Cari Tarikan Baharu

    Published: Thursday, 23 November 2017
    A- A+

    LIMBANG: Sejumlah RM1.5 juta sudah dibelanjakan untuk menaik taraf dan menyelenggara kemudahan di tapak pelancongan 'Lumpur Bebuak' dekat sini, sejak sepuluh tahun lalu.

    Pemulihan destinasi pelancongan itu yang dulunya terbiar, kini berjaya menarik kehadiran ramai pelancong asing, termasuk dari Eropah dan negara jiran Brunei dan juga Sabah.

    Menteri Muda Pertanian, Dr Abdul Rahman Ismail, berkata kerajaan negeri akan terus menyediakan kemudahan yang diperlukan pelancong di kawasan itu.

    "Lumpur Bebuak antara destinasi pelancongan popular di Limbang. Tanpa mengira musim tengkujuh atau kemarau pelancong sentiasa datang berkunjung dan mandi lumpur di tempat berkenaan," katanya ketika merasmikan Pesta Bebuak Meritam 2017 di sini, hari ini.

    Dr Abdul Rahman berkata, selain Lumpur Bebuak, kawasan pelancongan popular yang terdapat di daerah paling utara di Sarawak itu ialah Gunung Buda.

    Beliau berkata, Majlis Daerah Limbang diminta supaya mengenal pasti destinasi pelancongan popular lain untuk dijadikan tarikan pelancongan baharu.

    Katanya, kedudukan strategik daerah Limbang bersempadan dengan Brunei dan Indonesia (Kalimantan), termasuk berjiran dengan Sabah dan Labuan memberi kelebihan menjana potensi sektor pelancongan.

    "Kerajaan negeri akan terus menyediakan kemudahan yang diperlukan di kawasan pelancongan, sekiranya ia mempunyai keunikan tersendiri," katanya. - BHOnline
  • No Comment to " Cari Tarikan Baharu "