• Capai Perjanjian Sama-Sama Menang - CPOPC

    Published: Friday, 24 November 2017
    A- A+

    BRUSSELS: Negara pengeluar minyak sawit dan Kesatuan Eropah (EU) wajar mencapai penyelesaian 'sama-sama menang' secepat mungkin supaya tidak menjejaskan hubungan dua hala dengan ASEAN atau Indonesia dan Malaysia.

    "Situasi hubungan antara ASEAN atau khususnya Indonesia dan Malaysia dengan EU akan terjejas apabila kita tidak mampu mendapat penyelesaian sama-sama menang atau memenuhi kepentingan bersama kedua-dua pihak," kata Pengarah Eksekutif Majlis Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC), Mahendra Siregar.

    Katanya, negara-negara terbabit tidak harus menghadapi situasi yang makin sulit kerana jika satu harus menang dan satu harus kalah, tindakan ini hanya akan menjadikan hubungan dua hala yang tidak baik," katanya di luar Persidangan Minyak Sawit Eropah (EPOC) pada Khamis.

    Minyak sawit menjadi isu utama antara negara pengeluar dan EU selepas kesatuan itu meluluskan perjanjian tidak terikat pada 4 April 2017, yang antara lain menggesa penggunaan Pensijilan Minyak Sawit tunggal untuk eksport ke Eropah mulai 2020.

    EU juga menggesa penamatan secara beransur-ansur penggunaan minyak sayuran dan minyak sawit dalam program biodiesel menjelang 2020.

    "Jika kita tidak berhati-hati dalam isu ini, apa yang kita alami pada masa depan akan lebih buruk daripada sebelumnya. Akhirnya kita tidak ada yang menang

    Tindakan diskriminasi ini akan menjejaskan pekebun kecil.

    "Oleh itu kita perlu memahami bahawa apabila kita bercakap mengenai kelestarian minyak sawit, kita juga menumpukan kepada kepentingan pekebun kecil dan akses pekebun kecil kepada amalan terbaik dan pasaran premium yang lebih tinggi," katanya.

    "Dan jika ia kemudiannya meningkatkan kos akses, ia akan menghukum pekebun kecil kerana itu bermakna (kos pengeluaran) sehektar akan lebih tinggi.

    "Selagi anda faham keadaan itu, maka kita harus menangani cabaran itu bersama."

    "Hanya itu sahaja matlamat pembangunan kelestarian seperti mengurangkan kemiskinan boleh dicapai kerana mereka adalah golongan yang perlu meningkatkan mata pencarian, akses pendapatan kepada pembiayaan dan amalan terbaik," kata Mahendra, yang juga bekas Menteri di Indonesia.

    "Jika kita tidak melakukannya, maka ia bukan matlamat pembangunan mapan."

    Oleh itu, Mahendra berkata, ia bukan hanya mengenai Indonesia atau Malaysia, yang menyumbang 85 peratus daripada keluaran minyak sawit global, bahkan menjadi keutamaan semua negara membangun dan pengeluar minyak sawit, yang kebetulan adalah negara membangun.

    Beliau berkata, Malaysia dan Indonesia, yang juga satu-satunya negara anggota CPOPC, baru-baru ini membabitkan Thailand, Colombia, Guatemala, Nigeria dan Papua New Guinea. Lima negara ini menyumbang sembilan peratus daripada pengeluaran minyak sawit global.

    "Oleh itu, ini bukan sekadar kepentingan negara. Ia adalah kepentingan negara-negara membangun, pentingnya untuk mencapai matlamat pembangunan mampan. Ia juga mengenai matlamat pembangunan lestari mereka (negara-negara membangun)," katanya.

    Kelapa sawit penting bagi negara-negara membangun kerana kelapa sawit adalah tanaman ekonomi dan strategik untuk mengurangkan kemiskinan.

    Indonesia mempunyai 17.5 juta pekebun kecil, manakala Malaysia seramai 650,000. Pengurangan perdagangan minyak sawit secara tidak adil yang dikaitkan dengan isu penebangan hutan adalah satu bentuk tindakan yang akan meneruskan kemiskinan untuk selama-lamanya.

    Ditanya sama ada negara pengeluar minyak sawit terlalu 'baik' dengan menggunakan saluran diplomatik untuk membantah tindakan diskriminasi EU, Mahendra pantas menjawab : "Tidak salah untuk menggunakan saluran diplomatik. Ia adalah cara paling mulia. Namun, tindakan itu sahaja tidak mencukupi."

    Ada peluang lain termasuk menjadi sebahagian daripada perbincangan ini di EPOC, bekerjasama dan pelaksanaan di pelbagai peringkat.

    Namun tindakan segera untuk menyelesaikan masalah itu menerusi penyelesaian 'sama-sama menang' kini lebih besar daripada sebelum ini.

    "Oleh itu, kita perlu menggandakan usaha dan komitmen kita," katanya. - BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Capai Perjanjian Sama-Sama Menang - CPOPC "