• Calon SPM Naik Lori

    Published: Monday, 6 November 2017
    A- A+

    BUTTERWORTH: Seramai 150 calon Sijil Pelajaran Malaysia di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Haji Ahmad Said dekat Sungai Dua, di sini, terpaksa dibawa menaiki lori dan kenderaan pacuan empat roda ke pusat peperiksaan selepas sekolah berkenaan ditenggelami hingga paras pinggang akibat banjir lebih 24 jam.

    Tinjauan BH mendapati calon berkumpul kira-kira 200 meter di luar perkarangan sekolah bagi menunggu giliran menaiki kenderaan yang disediakan pihak polis seawal jam 6.30 pagi tadi.

    Seorang calon, Muhammad Firdaus Zulkifli, gusar memikirkan keadaan banjir yang tidak surut dan menyukarkan perjalanan ke sekolah yang pertama kali dihadapinya.

    "Saya kurang tenang duduk rumah semalam dan berdoa keadaan bertambah baik kerana mahu menjawab peperiksaan dengan lancar.

    "Biarpun terpaksa menjawab dalam keadaan kurang selesa, saya bersyukur ramai pihak menyalurkan bantuan untuk mempermudahkan urusan hari ini demi calon mengambil peperiksaan," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

    Nor Atikah Daud berkata, situasi banjir itu sedikit mengganggu emosinya apabila berasa takut tidak dapat menjawab peperiksaan dengan baik.

    "Ketakutan itu menyebabkan saya membawa ibu ke sekolah hari ini dan syukur dengan bantuan semua pihak ia sedikit sebanyak meredakan perasaan resah saya sejak semalam," katanya.

    Seorang guru sekolah berkenaan berkata, banjir seperti itu pernah dialami pada 2003 dan kini berulang pada skala lebih serius.

    "Ini adalah cabaran dan dugaan untuk seluruh kakitangan sekolah serta calon yang menduduki peperiksaan hari ini.

    "Pihak sekolah berterima kasih kepada pihak yang bertungkus-lumus bagi memastikan peperiksaan berjalan seperti yang dijadualkan," katanya.

    Menurutnya, sebahagian calon yang rumah mereka ditenggelami air tinggal di surau dan asrama sekolah sejak semalam. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Calon SPM Naik Lori "