• Cadangan Rombakan Pra-sekolah Akan Dibincang Bersama TPM

    Published: Monday, 27 November 2017
    A- A+

    PADANG TERAP: Kementerian Pendidikan bersedia duduk semeja bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi menjalankan usaha pemurnian mengenai segala cadangan yang dikemukakan pemimpin itu dalam aspek pendidikan pra-sekolah.

    Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata melalui pertemuan itu kelak, pihaknya akan mendengar segala cadangan dikemukakan Ahmad Zahid termasuk saranan rombakan sistem pendidikan pra-sekolah membabitkan penyelarasan kurikulum dan sukatan pelajaran serta menetapkan had gaji minimum gurunya.

    "Kita akan adakan sesi taklimat untuk memberi gambaran penuh berkaitan pra-sekolah dan gaji guru kepada Timbalan Perdana Menteri.

    "Kita akan dapatkan tarikh daripada Timbalan Perdana Menteri untuk melaksanakan perbincangan dan sesi taklimat penuh itu.

    "Namun bagi pelarasan gaji guru pra-sekolah antara kerajaan dan swasta ia memerlukan usaha pemurnian bagi kedua-dua pihak. Kita perlu tengok bagaimana pelarasan akan dibuat, " katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Berkhatan Perdana disertai 105 kanak-kanak di Hospital Kuala Nerang, di sini.

    Sehingga kini, Mahdzir berkata, terdapat 6,121 pra-sekolah di bawah Kementerian Pendidikan dan 7,428 pra-sekolah di bawah pihak swasta dengan lesen dikeluarkan pihak kementerian.

    Katanya, terdapat dua pra-sekolah lagi di bawah kementerian lain iaitu Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) KEMAS Jabatan Kemajuan Masyarakat dikelolakan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah serta pra-sekolah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) dikendalikan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

    "Kurikulum pra-sekolah di peringkat kerajaan sudah selaraskan dan arahan bagi penyelarasan juga dikeluarkan kepada pihak swasta," katanya.

    Mahdzir berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ahmad Zahid bahawa kerajaan akan merombak sistem pendidikan pra-sekolah di negara ini termasuk menyelaras kurikulum dan sukatan pelajaran serta menetapkan had gaji minimum gurunya.

    Dalam kenyataan sama juga, Ahmad Zahid turut berkata, rombakan juga termasuk mewajibkan semua bakal guru pra-sekolah menghadiri kursus jangka pendek sekurang-kurangnya tiga bulan kerana ketika ini mereka yang diambil mengajar adalah lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

    Mengulas mengenainya, Mahdzir berkata, tenaga pengajar di pusat asuhan dan pendidikan awal kanak-kanak sememangnya perlu berkelulusan sekurang-kurangnya diploma menjelang 2020.

    "Begitu juga dengan KEMAS dan Jabatan Perpaduan... masing-masing sudah mempunyai saluran untuk memastikan setiap guru yang mengajar pra-sekolah perlu ada diploma.

    "Di pihak kerajaan kita ada saluran untuk guru menyambung pengajian termasuk menjalani kursus ketika cuti sekolah namun saya tidak pasti untuk pra-sekolah swasta, " katanya.- BH

    Subjects:

  • No Comment to " Cadangan Rombakan Pra-sekolah Akan Dibincang Bersama TPM "