• Cadangan Mengenakan Caj Tol Baraj Kuching Akan Diteliti – Masing

    Published: Wednesday, 29 November 2017
    A- A+

    KUCHING: Kerajaan negeri akan meneliti cadangan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2, 2016 untuk mengenakan caj tol terhadap semua jenis kapal yang melalui Baraj Kuching, kata Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar James Masing.

    Menurutnya, dalam hal tersebut kerajaan negeri harus membuat keputusan tepat.

    Beliau memberitahu, sebab-sebab caj tol tidak dikenakan ke atas kapal-kapal yang melalui Baraj Kuching ketika ini harus diketahui sebelum sebarang keputusan boleh dibuat.

    “Saya agak terkejut juga (mengetahui) kapal-kapal yang melalui baraj tidak dikenakan bayaran.

    “Saya akan meneliti dan mencari sebab kenapa caj tol tidak dikenakan ke atas kapal yang melalui baraj dan apabila semua sudah terjawab, kerajaan negeri akan membuat keputusan berhubung perkara ini dan ia mesti tepat,” katanya kepada Akhabar Utusan Borneo semalam.

    Masing yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan turut memberi jaminan jika kerajaan negeri mengambil keputusan mengenakan caj tol ke atas kapal-kapal yang melalui baraj pada masa akan datang, kadarnya adalah munasabah.

    “Saya percaya pada prinsipnya, bayaran perlu dikenakan ke atas barangan atau perkhidmatan tetapi kadar caj dikenakan adalah sangat munasabah sekiranya kerajaan negeri mengambil keputusan mengenakan bayaran tol ke atas kapal-kapal yang melalui Baraj Kuching kelak,” ujarnya.

    Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas LKAN Siri 2, 2016 yang mengesyorkan agar kerajaan negeri menerusi Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) mengenakan caj tol ke atas kapal-kapal yang melalui Baraj Kuching bagi menambah hasil. – Sarawakiana
  • No Comment to " Cadangan Mengenakan Caj Tol Baraj Kuching Akan Diteliti – Masing "