• Cadang Selaraskan Seragam Pekerja Hotel

    Published: Thursday, 23 November 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan mencadangkan pihak hotel menyelaraskan pakaian seragam kakitangannya di kaunter hadapan selari dengan tuntutan agama dan budaya.

    Menterinya, Datuk Seri Nazri Aziz, berkata ia penting bagi memastikan unsur diskriminasi tidak wujud selari dengan Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan kebebasan beragama.

    "Bukan setakat (isu) orang Islam sahaja, saya tengok kakitangan terdiri daripada perempuan India pakai sari, ataupun seorang Punjabi Sikh pakai serban (mungkin hadapi isu sama), kita tidak pernah soal (mengenai hal itu).

    "Mungkin ada dasar tidak membenarkan orang India Malaysia pakai sari, satu kemungkinan, mungkin dipaksa pakai 'skirt'.

    "Kita sebagai sebuah negara berbilang kaum, apa salahnya pakai satu uniform sama, dibuat untuk sari, serban dan tudung disertakan dengan logo hotel, itu yang perlu dilakukan," katanya.

    Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Siti Zailah Mohd Yusoff (PAS-Rantau Panjang), pada sesi waktu pertanyaan menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

    Mengulas soalan pertama Anuar Abd Manap (BN-Sikijang), Nazri berkata setakat ini, pihaknya hanya menerima satu aduan berhubung isu pemakaian tudung kakitangan hotel di kaunter hadapan.

    "Kita sedang menjalankan siasatan dan mengumpul maklumat berkaitan aduan berkenaan.

    "Kementerian menegaskan supaya pihak hotel terbabit untuk meneliti dasarnya supaya ia bersesuaian adat resam dan budaya negara ini selain tidak menyentuh sensitiviti rakyat," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Cadang Selaraskan Seragam Pekerja Hotel "