• Bukan Semua Dron Perlu Kelulusan DCA

    Published: Friday, 24 November 2017
    A- A+

    PUTRAJAYA : Jabatan Penerbangan Awam (DCA) memperjelaskan bahawa bukan semua dron atau kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) perlu mendapatkan kelulusan jabatan itu sebelum ia diterbangkan.

    Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman berkata orang awam yang mengendalikan dron tidak melebihi berat 20 kilogram boleh menerbangkan UAV itu tanpa kelulusan DCA selagi 'pengendali berpuas hati bahawa dron dapat diterbangkan dengan selamat.'

    "Walau bagaimanapun, semua jenis dron tidak dibenarkan terbang di ruang udara Kelas A, B, C atau G dan di sekitar lapangan terbang melainkan dibenarkan oleh DCA," katanya dalam kenyataan hari ini ketika mengulas sebuah laporan akhbar berbahasa Inggeris bertajuk 'Drone Wings To Be Clipped', semalam.

    Menurut artikel itu, DCA sedang menubuhkan sebuah unit penguatkuasaan untuk mengambil tindakan terhadap pemilik dron yang tidak berdaftar. Unit berkenaan, yang akan ditempatkan di kesemua 21 lapangan terbang di negara ini, dijangka mula beroperasi awal tahun depan.

    Artikel itu menyebut unit penguatkuasaan itu diperkenalkan kerana ramai pemilik dron tidak sedar bahawa aktiviti menerbangkan dron di luar rumah mereka adalah haram.

    Azharuddin berkata DCA kini sedang menjalani kajian menyeluruh tentang kemungkinan menubuhkan unit penguatkuasaan bagi tujuan keselamatan penerbangan awam serta kemungkinan mendaftar dron jenis tertentu. - Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " Bukan Semua Dron Perlu Kelulusan DCA "