• Bukan Hanya Pembangunan, Sarawak Tetap Utamakan Keharmonian Agama

    Published: Tuesday, 21 November 2017
    A- A+

    MIRI: Meskipun sibuk mengejar pembangunan ke arah ekonomi digital namun kedua-dua aspek perpaduan dan keharmonian beragama masih menjadi keutamaan kerajaan negeri ini kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau Datuk Sebastian Ting.

    “Inilah keunikan Sarawak yang diwarisi rakyatnya hari ini dari satu generasi ke satu generasi dan menjadi teras kepada keamanan negeri ini,” katanya di sini semalam.

    Memetik laporan Utusan Borneo, menurut Pengerusi SUPP Piasau itu, bagi melindungi keharmonian sedia ada, kerajaan negeri telah menubuhkan Unit Hal Ehwal Bukan Islam.

    Katanya, ianya bagi membolehkan mereka menyampaikan masalah yang dihadapi penduduk bukan Islam di negeri ini dan cara-cara penyelesaian terbaik.

    “Hari ini unit tersebut sudah diberi nama baharu iaitu Unit Agama Lain (UNIFOR), bukan hanya satu unit khas sebagai landasan berkhidmat kepada rakyat bukan Islam di negeri ini tetapi mendengar masalah terutama berkaitan isu-isu agama serta menyalurkan bantuan kewangan untuk tempat-tempat ibadat mereka,” katanya,

    Sehubungan itu, Sebastian turut mengalu-alukan masyarakat bukan Islam memerlukan bantuan kewangan untuk rumah ibadat supaya memohon menerusi saluran tersebut.

    Pada majlis tersebut, beliau turut menyampaikan sumbangan daripada Ketua Menteri kepada Kuil Gurdwara Sahib Miri berjumlah RM160,000 untuk keperluan penyelenggaraan kuil tersebut. - Sarawakiana
  • No Comment to " Bukan Hanya Pembangunan, Sarawak Tetap Utamakan Keharmonian Agama "