• Bukan Hadiah, Tapi Kereta Rasmi Kahwin

    Published: Friday, 17 November 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Tunang pelakon Izara Aishah, Adib Khalid, menjelaskan kereta Rolls-Royce yang diterima mereka seperti dipaparkan dalam sebuah rakaman bukanlah hadiah perkahwinan seperti digembar-gemburkan.

    Sebaliknya kata Adib, 27, kenderaan mewah itu ialah kereta rasmi yang bakal digunakan sepanjang majlis perkahwinan mereka.

    "Abang saya, Anas, memang terbabit dengan perniagaan kereta mewah dan kebetulan, Rolls-Royce adalah antara jenama yang dijual mereka. Justeru untuk tujuan promosi, syarikatnya menaja kenderaan berkenaan untuk kami gunakan sepanjang majlis perkahwinan ini berlangsung.

    "Kalau ada sesiapa ingin membeli kereta itu selepas ini, bolehlah menghubungi saya," ujar Adib sambil ketawa ketika dihubungi BH Online sebentar tadi.

    Mengulas video berdurasi 41 saat yang menyaksikan pasangan secocok itu meninjau kereta mewah berkenaan seperti tersebar luas di laman sosial, dua hari lalu, anak tiri kepada penyanyi terkenal, Datuk Seri Siti Nurhaliza, itu berkata ia adalah antara babak dirakamkan bagi program bertemakan perkahwinan terbitan sebuah stesen penyiaran.

    "Kebetulan, majlis kami nanti akan disiarkan dalam sebuah program perkahwinan, jadi proses meninjau kenderaan terbabit juga adalah antara babak menarik dalam program berkenaan," katanya.

    Sementara itu, berkongsi perasaannya yang bakal bergelar suami, Adib berkata, ketika ini dirinya masih mampu menahan perasaan gementar.

    "Buat masa ini saya masih lagi okay, tetapi tidak tahulah bagaimana keadaannya, esok. Saya ada jugalah berlatih cara hendak melafazkan akad nikah. Harapan saya, biarlah majlis itu berjalan lancar seperti yang dirancang," kata Adib yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Tune Studio.

    Selepas mengikat tali pertunangan pada 17 Julai lalu, pasangan ini bakal disatukan dalam majlis pernikahan, esok, manakala resepsi pula diadakan di sebuah hotel di ibu kota, Ahad ini. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Bukan Hadiah, Tapi Kereta Rasmi Kahwin "