• Bottas Atasi Hamilton Sesi Kelayakan Abu Dhabi

    Published: Sunday, 26 November 2017
    A- A+

    ABU DHABI: Valtteri Bottas menafikan rakan sepasukan yang juga juara dunia empat kali, Lewis Hamilton untuk menyambar petak pertama Grand Prix Formula Satu Abu Dhabi sekali gus menyaksikan dominasi satu dua Mercedes AMG PETRONAS pada sesi kelayakan, semalam.

    Petak depan itu adalah yang kedua berturut-turut diraih pemandu sensasi Finland itu dan keempat bagi kempen musim ini dan Bottas bertekad untuk memenangi perlumbaan di Litar Yas Marina itu selepas berdepan kekecewaan dua minggu lalu di Brazil.

    "Saya sangat kecewa pada perlumbaan terakhir selepas bermula di petak depan tapi gagal memenangi perlumbaan. Jelas sekali saya mempunyai misi besar pada perlumbaan sebenar nanti," katanya.

    Hamilton yang memburu petak depan untuk kali ke-12 musim ini, berada di belakang Bottas selepas pusingan terakhir sesi kelayakan dan tidak mampu untuk mengatasi catatan dilakukan rakan sepasukannya itu.

    "Dia cukup cemerlang pada sesi kelayakan. Tahniah diucapkan kepadanya," kata Hamilton merujuk kepada Bottas.

    "Ia sesi kelayakan terakhir tahun ini dan saya sudah memberikan segala-galanya. Tapi saya tidak mempunyai kepantasan yang dimahukan di sesi kelayakan.

    "Bottas melaksanakan tugasnya dengan baik. Saya amat gembira buatnya.

    "Sama ada ia sesi kelayakan yang paling menarik atau tidak, saya tetap gembira dengan keputusan di sini," kata Hamilton yang memenangi perlumbaan itu tahun lalu selepas bermula di petak pertama.

    Hamilton akan menamatkan musim ini dengan rekod 72 kali meraih petak pertama, rekod sepanjang zaman mengatasi pencapaian Michael Schumacher.

    Mercedes sudah mengesahkan kejuaraan pengeluar buat kali keempat berturut-turut sekali gus menyaksikan perlumbaan minggu ini tidak begitu mengujakan.

    Pemandu Ferrari, Sebastian Vettel menyambar petak ketiga sementara pemandu Australia, Daniel Ricciardo (Red Bull) keempat. - Reuters

    Subjects:

  • No Comment to " Bottas Atasi Hamilton Sesi Kelayakan Abu Dhabi "