• BOSH 2017 Sebar Maklumat Keselamatan, Kesihatan Pekerjaan

    Published: Thursday, 9 November 2017
    A- A+

    KOTA KINABALU: Persidangan dan Pameran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Borneo kelima (BOSH 2017) di sini minggu depan, akan membantu peserta berkongsi maklumat dan pendapat untuk memperkukuhkan aspek Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP).

    Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata ia sekali gus mampu meningkatkan daya saing peserta dalam persekitaran ekonomi yang lebih mencabar.

    Beliau berkata, penganjuran persidangan itu juga selari dengan objektif NIOSH untuk memupuk budaya pencegahan kemalangan oleh semua pihak, terutama dalam kalangan majikan dan pekerja.

    "Diharap usaha ini akan mengurangkan kadar kemalangan di tempat kerja di Sabah dan Sarawak khususnya," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

    Lam Thye berkata, tema BOSH 2017 iaitu Meningkatkan KKP untuk Daya Saing Perniagaan, dipilih kerana ia bersesuaian dengan keadaan ekonomi semasa yang begitu mencabar tetapi tetap berkembang pesat.

    Sejumlah 14 kertas kerja akan dibentangkan pada persidangan di Hotel Hilton, di sini pada 13 dan 14 November itu.

    Penceramah daripada jabatan kerajaan dan sektor swasta, antara lain akan mengupas tajuk berkaitan KKP termasuk sistem pengurusan, pelan induk dan perlindungan keselamatan sosial.

    "Isu berkaitan lain dan kepentingannya dalam pembangunan industri di Sabah dan Sarawak akan turut dikupas," kata Lam Thye.

    BOSH 2017 dijadual dirasmikan Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Datuk Seri Raymond Tan Shu Kiah.

    Lam Thye berkata, program dua hari itu juga akan membantu meningkatkan pengetahuan dan kemahiran kira-kira 500 peserta mengenai aspek KKP supaya mereka boleh mengamalkannya di tempat kerja.

    Katanya, pengamal KKP yang menyertai BOSH 2017 akan mendapat 15 mata di bawah Program Pendidikan Berterusan (CEP) anjuran Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).

    "Peserta dari sektor pembinaan menerima 20 mata di bawah program Pembangunan Berterusan Kontraktor (CCD) Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB)," katanya.

    Pertama kali dianjurkan di Kota Kinabalu pada 2009, beliau berkata, BOSH kini menjadi sebutan banyak pihak di Kawasan Pertumbuhan Asean Timur -Brunei, Indonesia, Malaysia & Filipina atau BIMP-EAGA. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " BOSH 2017 Sebar Maklumat Keselamatan, Kesihatan Pekerjaan "