• Bomba Siap Siaga Hadapi Bencana Banjir Seluruh Negara

    Published: Tuesday, 7 November 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah bersiap sedia 100 peratus dengan kekuatan anggota, kenderaan jentera dan aset logistik dalam kerja-kerja penyelamat bencana banjir di beberapa negeri.

    Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Tan Sri Noh Omar berkata, seramai 27,260 anggota bomba, pasukan bomba bantuan dan pasukan bomba sukarela di seluruh negara telah bersiap sedia untuk menjalankan operasi penyelamat bencana banjir.

    “Jabatan Bomba dan penyelamat juga telah bersedia dengan aset yang sedia ada yang merangkumi kenderaan marin, kenderaan darah dan juga pesawat udara yang boleh digerakkan pada bila-bila masa.

    “Pasukan penyelamatan di air atau pun unit skuba telah sedia dengan kekuatan anggota seramai 554 diseluruh negara,” katanya ketika menjawab pertanyaan Anuar Abd Manap (BN - Sekijang), di Dewan Rakyat, hari ini.

    Menurutnya, pada 1 November lalu, JBPM juga telah mengeluarkan surat arahan kepada semua JBPM di seluruh negara untuk membuat persediaan dalam menghadapi bencana banjir selain membekukan cuti pegawai yang berada di kawasan yang terjejas.

    “Semua jabatan diminta untuk mengaktifkan bilik gerakan banjir di pusat gerakan operasi sedia ada dan di minta mengemaskini maklumat banjir dua kali setiap hari di kawasan yang terjejas.

    “Arahan JBPM juga telah diminta untuk memastikan semua peralatan dan kenderaan penyelamat berada di dalam keadaan baik yang boleh digunakan dan juga mengenalpasti kawasan berisiko banjir, tanah runtuh dan lokasi kedudukan pusat penyelamatan mangsa banjir,” katanya.

    - Sinar Online

    Subjects:

  • No Comment to " Bomba Siap Siaga Hadapi Bencana Banjir Seluruh Negara "