• Bomba Keluarkan Jari Kanak-Kanak Tersepit Pada Tombol Pintu

    Published: Sunday, 12 November 2017
    A- A+

    Anggota bomba dan penyelamat berjaya keluarkan jari telunjuk kiri seorang kanak-kanak berusia lapan tahun yang tersepit pada lubang kunci tombol pintu rumah di Kampung Pak Darus, Taiping, 4.21 petang hari ini.

    Difahamkan, bomba yang menerima panggilan kecemasan daripada Hospital Taiping terpaksa meminta bantuan pihak hospital untuk membius tangan kanak-kanak terbabit.

    Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taiping, Mazly Abd Mutalib berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada kakitangan Hospital Taiping bagi mengeluarkan jari mangsa daripada tombol pintu terbabit sebelum sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian.

    Katanya, sebaik tiba anggota mendapati jari mangsa masih tersepit pada lubang kunci tombol pintu berkenaan dan mengalami luka serta sedikit pendarahan.

    "Kita meminta pihak hospital membius tangan mangsa kerana dikhuatiri akan menambahkan kesakitan padanya ketika operasi mengeluarkannya dijalankan.

    "Selepas dibius, anggota bomba bertindak menggunakan gergaji serta pemotong untuk memecahkan tombol pintu berkenaan.

    "Jari mangsa berjaya dikeluarkan dengan selamat dan mangsa diserahkan kepada pihak hospital untuk rawatan lanjut," katanya.

    Mazly berkata, operasi ditamatkan 5.46 petang.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Bomba Keluarkan Jari Kanak-Kanak Tersepit Pada Tombol Pintu "