• BNM Serbu Premis Ambil Deposit Haram

    Published: Thursday, 30 November 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) menyerbu sembilan premis sekitar Lembah Klang yang mempunyai kaitan dengan Koperasi Dinar Dirham Berhad kerana disyaki mengambil deposit haram.

    BNM dalam satu kenyataan, berkata serbuan itu dilakukan hari ini dengan Pasukan Penguatkuasaan Pemulihan Hasil Negara dari Jabatan Peguam Negara; Polis Diraja Malaysia; Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan Cyber Security Malaysia.

    Dalam serbuan itu, katanya, enam pengarah syarikat disyaki berperanan sebagai dalang dan ejen yang terbabit dengan pengambilan deposit haram ditahan serta menyita pelbagai dokumen bagi membantu siasatan.

    "Lapan buah kenderaan bernilai RM1.5 juta disita dalam operasi berkenaan dan BNM membekukan 114 akaun dari 12 bank berjumlah RM15.3 juta.

    "Sejumlah wang tunai dan mata wang asing berjumlah RM1.4 juta turut dirampas selain menyita logam seberat 22.5 kilogram (kg)," katanya.

    Kenyataan itu berkata, Koperasi Dinar Dirham dipercayai menjalankan kegiatan yang salah mengikut Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (FSA) dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001.

    Katanya, serbuan itu sebahagian daripada usaha berterusan antara agensi bagi mengekang sebaran bentuk skim kewangan haram. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " BNM Serbu Premis Ambil Deposit Haram "